Ahad, 28 November 2010

Matlamat Hidup ?? (ep 1)





بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah yang menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi serta mengarahkan mereka agar sentiasa beribadah kepadaNya, solawat dan salam ke atas junjungan mulia Penghulu sekalian nabi iaitu Saidina Muhammad S.A.W dan ke atas keluarga yang suci serta sahabat yang terpilih
. أمابعد.

Ketahuilah wahai saudaraku bahawa setiap perkara perlu ada matlamat dan hala tuju. Begitu juga hidup kita yang sementara ini perlu ada matlamat yang jelas. Seandainya kita tiada matlamat hidup yang tepat dan jelas, pasti kita tak ubah seperti lalang yang ditiup angin. Seandainya ditiup ke kanan, maka ia ke kanan dan seandainya ditiup ke kiri, maka ia turut ke kiri. Hidup kita ketika itu tidak memberi apa-apa makna untuk diri kita dan orang lain.
Ketahuilah sesungguhnya agama yang kita cintai iaitu Islam telah memberi garis panduan kepada kita bagi mencari matlamat hidup. Bahkan Islam itu sendiri telah menetapkan kepada kita apakah matlamat hidup sebagai seorang Islam. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala di dalam firmannya :

“ Tidaklah kami jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka sentiasa beribadat”

Jelas di dalam ayat di atas bahawa kita diciptakan untuk beribadat dan merendahkan diri kepada Allah. Matlamat kita hidup di dunia yang sementara ini ialah semata-mata beribadat kepada Allah.

Ketahuilah bahawa ibadat yang dituntut oleh Allah terbahagi kepada 2 iaitu ibadat khusus dan ibadat umum. Ibadat khusus adalah ibadat yang dituntut ke atas kita pada masa yang tertentu dan peraturan-peraturan yang tertentu seperti solat 5 waktu sehari semalam, puasa di bulan Ramadhan, zakat apabila cukup tempoh dan sukatan, menunaikan haji seandainya mampu dan lain-lain. Manakala ibadat umum pula meliputi semua gerak-geri kita di dalam kehidupan seharian seperti bekerja , makan dan minum, tidur, bergaul sesama insan dan lain-lain dengan syarat niat kita kerana Allah dan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W ketika melakukan perbuatan itu. Pekerjaan kita , tidur kita , makan dan minum kita, perjalanan kita, percakapan kita, penglihatan kita dan apa saja yang kita lakukan setiap hari jika dengan niat yang betul akan diberi ganjaran oleh Allah kerana amalan itu semuanya dinamakan ibadat . Fahamilah !!!

Ketahuilah wahai saudaraku, dunia hari ini penuh dengan fitnah ( yakni kerosakkan). Ianya ada di mana-mana. Kerosakkan-kerosakkan itu telah menular kepada kita samada tanpa kita sedari atau kita sedari. Itulah yang dinamakan fitnah kehidupan akhir zaman. Fitnah pada hari ini terlalu banyak dan tidak mampu kita hitung. Setiap yang membawa kita menjadi lalai terhadap matlamat kita yang utama iaitu beribadat kepada Allah samada secara sedar atau tidak sedar , maka itulah dinamakan fitnah akhir zaman. Ianya tidak ubah seperti virus yang berbahaya di mana kita perlu memiliki antibodi yang kuat untuk mengatasinya atau paling tidak kita perlu lari sejauh-jauhnya dari virus yang berbahaya itu. Hanya 2 jalan ini sajalah yang dapat menyelamatkan kita.
Wahai saudaraku, seandainya kita terpaksa mengharungi fitnah ini, maka perlulah kita mempersiapkan diri dengan tembok yang kukuh untuk menghalangnya daripada memudharatkan iman kita dan iman keluarga kita. Tembok yang paling kukuh bagi orang Islam ialah solat 5 waktu kerana ianya dapat menegah seseorang daripada kejahatan dan kemungkaran. . Berapa ramai orang Islam pada hari ini diserang dan tertewas dengan fitnah yang menyebabkan mereka hanyut di dalam kemaksiatan. Mereka telah terpesong daripada matlamat hidup mereka yang sebenar iaitu beribadat kepada Allah Yang Mencipta diri mereka. Hati mereka tidak pernah mengingati Allah walaupun sesaat. Mereka melupai Allah dan Allah juga akan melupai mereka di hari pembalasan yang paling dahsyat dan hari penyesalan bagi golongan yang tidak beribadat kepada Allah. Punca utama berlaku penderhakaan ini ialah kelalaian di dalam melaksanakan solat 5 waktu. Jikalau mereka melaksanakannya pun, perlaksanaan mereka mengikut hawa nafsu mereka dan bukan menurut peraturan-peraturan dari Allah.
Ketahuilah wahai saudaraku bahawa terdapat satu riwayat yang menceritakan tentang bagaimana seorang wanita terjerumus di dalam fitnah yang sangat besar disebabkan beliau meninggalkan solat Asar sahaja. Para sahabat telah mendatangi Nabi S.A.W dan menceritakan kepada baginda bahawa ada seorang wanita yang telah berzina di suatu tempat. Kemudian wanita itu telah mengandung anak luar nikah dan melahirkannya secara rahsia. Anak itu dibunuh dan direndamkannya ke dalam tempat penghasilan arak. Lalu arak itu dijual pula kepada orang ramai. Apabila Baginda Rasulullah mendengar berita itu, Baginda terus menyatakan bahawa wanita itu tadi telah meninggalkan solat Asar. MasyaAllah. Cuba kita perhatikan kesan buruk yang sangat besar apabila seseorang itu meninggalkan satu waktu solat sahaja. Bagaimanakah kesan buruk bagi golongan-golongan yang lansung tidak mendirikan solat atau pun melakukan sebahagian waktu sahaja dan meninggalkan waktu yang lain. Pastinya hati mereka menjadi gelap tanpa hidayah dan hidupnya yang bergelumang dengan nafsu keinginan duniawi yang membawa mereka alpa daripada matlamat kehidupannya iaitu beribadat kepada Allah.
Ketahuilah wahai saudaraku bahawa solat telah mengajar kita erti peraturan hidup menurut syariat Islam yang diredhai Allah. Solat mengajar kita agar mengurus masa dengan baik melalui waktu-waktu solat yang dihadkan oleh Allah. Sepertimana masa kerja kita yang dihadkan oleh majikan kita, begitu jugalah masa solat kita yang dihadkan oleh Allah. Seandainya kita takut dimarahi majikan kerana tidak menjaga masa kerja , maka apatah lagi Allah Yang Menciptakan kita. Apakah kita tidak perlu takut kepada Allah ??? Adakah kuasa majikan kita lebih besar dan hebat dari kuasa yang dimiliki oleh pencipta kita iaitu Allah. Fikirkan sejenak perkara ini nescaya Allah akan buka pintu kebaikan kepada kita semua.
Jangan kita berangan-angan panjang dan menangguhkan perintah Allah. Ramai orang yang jahil berkata : “ Nanti saya tua saya akan beribadat kepada Allah, sekarang saya masih muda dan mahu mencari keperluan hidup serta memenuhi cita-cita saya”. Mereka ini telah ditipu oleh syaitan yang durjana. Mereka menangguh-nangguhkan amalan mereka seolah-olah mereka tahu bahawa ajal mereka hanya akan tiba apabila mereka tua. Berapa ramai golongan bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa meninggal sebelum usia tua. Ajal tidak mengira usia, pangkat, darjat dan tempat. Seandainya mereka benar-benar jahil tentang tarikh dan masa ajal mereka, kenapa kita begitu yakin dengan masa depan mereka??? Padahal masa untuk beribadat semakin singkat , umur semakin meningkat, dosa kian bertingkat, bermacam-macam keinginan nafsu duniawi yang tak dapat disukat, Hari Kiamat pula semakin dekat . Berwaspadalah !!!
Sebelum kita melaksanakan solat, kita diwajibkan menyucikan diri dari hadas kecil dan besar. Penyucian ini bukan hanya pada zahir bahkan pada batin kita. Maksud penyucian batin ialah penyucian dari dosa besar dan kecil serta penyucian daripada sifat mazmumah seperti ego, besar diri, perasan, angkuh, tamak, cintakan harta, dengki, suka pujian, suka menunjuk-nunjuk, bangga dan lain-lain. Penyucian daripada dosa kecil terhasil dengan melakukan amalan wajib dan sunat. Manakala penyucian daripada dosa besar dan sifat mazmumah terhasil dengan bertaubat kepada Allah. Syarat-syarat bertaubat ada 4 iaitu berhenti daripada melakukan kesalahan itu, menyesal di atas semuanya, berazam tidak akan mengulanginya lagi , dan yang terakhir ialah memulangkan hak orang yang kita ambil . Ketahuilah bahawa pintu taubat sentiasa terbuka. Semua manusia melakukan kesalahan dan sebaik-baik pesalah ialah yang bertaubat. Walaupun seseorang itu membunuh 100 orang yang tidak bersalah, namun Allah Yang Maha Pemaaf masih memberi peluang kepada si pembunuh itu. Ketahuilah bahawa Allah menyayangi kita dan sentiasa memanggil kita untuk kembali ke jalanNya. Subhanallah !!!
Setelah kita menyucikan diri, kita perlu menutupkan segala keaiban kita. Maksud keaiban itu ialah aurat kita. Menutup aurat bermakna menutup warna kulit dan bentuk badan. Setiap inci aurat kita berada di atas tanggungjawab kita. Maka perlulah kita menutupnya di hadapan Allah Yang Maha Sempurna. Amalan ini bukan hanya kita lakukan di dalam solat sahaja bahkan setiap masa dan ketika kecuali kita bersama mahram. Sepertimana Allah Maha Melihat ketika kita solat, begitu jugalah Allah Maha Melihat ketika kita berada di luar keadaan solat. Oleh itu, jagalah aurat kita sepanjang masa dan usia. Janganlah kita tertipu dengan hasutan nafsu dan syaitan melalui fesyen dan gaya terkini yang sangat jauh terpesong daripada landasan agama kita. Semua fesyen yang mendedahkan aurat dan bentuk tubuh adalah agenda Yahudi yang dilaknat Allah. Mereka telah lama menjalankan agenda ini dari semasa ke semasa. Mereka tidak pernah membaiki orang Islam bahkan sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan kita. Mereka memesongkan kita dari cahaya kepada kegelapan , sedangkan agama Islam sentiasa mengeluarkan dari kegelapan kepada cahaya kebenaran. Mereka mengajar kita mengkhianati Allah dan RasulNya. Mereka menghasut kita agar menghampiri kepada penzinaan sedangkan Allah telah memberi amaran dan arahan agar kita tidak menghampiri zina. Antara perkara yang menghampirkan kita kepada zina ialah membuka aurat. Ya Allah, lindungilah hambamu ini dan keluarga ini daripada menghampiri zina.
Ramai wanita pada hari ini menutup aurat berdasarkan kehendak nafsu mereka. Bagi mereka, menutup aurat ialah menutup rambut semata-mata sedangkan mereka membiarkan tangan , leher, telinga, kaki dan anggota lain dilihat orang. Ada pula yang menutup semua anggota tetapi ternampak bentuk tubuh mereka dengan jelas. Ada juga yang memakai tudung tetapi rambutnya disanggulkan sehingga kelihatan seperti bonggol unta. Semua jenis pemakaian yang disebutkan tadi sebenarnya menyeleweng jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Islam tidak pernah menghalang penganutnya memakai pakaian berbagai jenis dan warna tetapi pastikan menutup warna kulit dan bentuk tubuh. Ingatlah , aurat lelaki dari pusat hingga ke lutut dan aurat perempuan seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Berjihadlah di dalam menutup aurat diri kita dan keluarga . Ketahuilah bahawa orang yang menjaga aurat adalah orang yang amanah terhadap Allah. Orang yang amanah terhadap Allah maka balasannya adalah bersama Rasulullah S.A.W di dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan. Ketika itu mereka bisa meminta apa saja yang mereka kehendaki. Nikmat daripada Allah ketika itu mencurah-curah kepada mereka. Apa saja yang terlintas difikiran mereka, terus Allah sediakan. Subhanallah !!! Begitu beruntungnya golongan ini. Ya Allah, jadikan hambamu ini dan keluarga ini daripada golongan yang bersama Rasulullah di syurga. Amin…
Selepas itu, kita mengadap kiblat dan melafazkan niat solat lalu bertakbir sambil berniat di dalam hati. Lafaz niat adalah sebelum takbir dan tempatnya di lidah , manakala niat pula adalah ketika takbir dan tempatnya di dalam hati. Fahamilah!! Pastikan qosad, ta’arudh dan ta’yin di dalam niat kita di antara huruf Alif dan Ro pada lafaz الله أكبر yakni ketika menyebut Alif dan sebelum selesai menyebut Ro. Seandainya kita solat berjamaah, maka ikutilah imam tanpa mendahului perbuatannya. Solat kita tidak sah seandainya perbuatan kita berbeza daripada perbuatan imam kita. Imam ialah pemimpin kita di dalam solat. Setiap masa kita mempunyai pemimpin dan ada ketika kita pula yang memimpin. Pemimpin negara adalah raja. Pemimpin keluarga kita ialah ayah. Pemimpin isteri ialah suami. Pemimpin tubuh badan kita ialah hati. Sepertimana kita wajib mentaati pemimpin kita ketika solat , begitu jugalah kita wajib mentaati pemimpin kita di luar solat.

Isnin, 9 Ogos 2010

ISI-ISI PENTING DI BULAN RAMADHAN

ISI-ISI PENTING DI BULAN RAMADHAN

1- Makna Syariat : ialah Undang-undang @ Agama @ Jalan @ Hukum
Syariah Islamiah : Undang-undang Islam
Undang2 Syariah : Undang-undang Agama

2- Disyariatkan bulan Sya’aban tahun ke-2 hijrah. Nabi puasa Ramadhan 9 kali.
3- HUKUM:Siapa yang ingkar kufur kerana perkara maklum minanddin bidharurah. (Baijuri).

4- Orang berpuasa bersifat dengan sifat malaikat.
5- Ayat diseru oleh Iman tidak orang Islam kerana puasa hanya dilakukan oleh orang yang beriman sahaja. Iaitu percaya ttg hari Akhirat.

6- KUTIBA bermakna FURIDHA = difardhukan ‘Ain ke atas kamu semua ( baliqh, berakal, mampu) bukan farhdu Kifayah

7- Maknanya puasa: iaitu
menahan diri dari 2 nafsu (perut&kemaluan) dari perkara2 yang membatalkan puasa, mula dari fajar siddiq hingga terbenam matahari dengan niat.

8- 2 nafsu: punca segala kejahatan dan penyakit ialah perut. Segala najis tahi pun ada di dalamnya. Berkata Imam Al-Busiri

واخش الديائس من جوع ومن شبع
فرب مخمصة شر من التخم
Terlalu kenyang mendatangkan: malas, gelap hati, malas untuk bangun.
Firman Allah:

Sabda Nabi: Sesungguhnya Mukmin minum memenuhi satu bahagian perut dan kafir memenuhi 7 bahagian perut.
Sabda Nabi : Sesungguhnya orang yang paling kenyang di dunia akan paling lapar di akhirat.
Kata ‘Aisyah : Bala yang pertama datang kepada umat ini selepas kefawatan Nabi ialah kenyang kerana sesungguhnya satu kaum apabila kenyang perut mereka, nescaya gemuklah nafsu mereka,lalu lemah hati mereka dan berkembang syahwat keinginan mereka.
Sabda Nabi: Makan sehari dua kali ialah membazir dan Allah tidak suka kepada membazir.

9- Mula dari fajar siddir hingga terbenam matahari: ini menunjukkan kasih sayang Allah kepada kita kerana memfardhukan apa yang kita mampu lakukan. لايكلف نفس إلا وسعها .
10- Nabi berbuka puasa dengan beberapa biji kurma masak, kalau tiada maka dengan kurma lembap. Kalau tiada, maka dengan menghirup air kosong. HIKMAH KURMA: tabiat badan sesuai waktu petang, menambahkan kekuatan dan menguatkan mata. HIKMAH AIR: hati kering dengan sebab puasa, maka air akan melembapkan dan memudahkan proses makanan. (Asyrafu Al-Wasael Fi Fahmi As-Syamail –Ibnu Hajar).

11- Niat : sekali lagi kita melihat kasih sayang Allah kerana memudahkan kita berniat di waktu malam dan sahur. Seandainya kita diwajibkan niat seperti ibadat lain nescaya lemah kita.

12- Takrif kedua : Takrif pertama + menjaga semua anggota zahir dari melakukan maksiat.

13- Takrif ketiga: Takrif pertama+kedua+ menjaga rahsia hati dari berpaling selain dari Allah. Mereka Ahlullah(Rasul,Nabi,Wali,Ulama’ Akhirat.

14- KAMA KUTIBA : di dalam bahasa Arab dinamakan tasybih di dalam ilmu Balaghoh. Iaitu perumpaan. Allah umpamakan kefardhuan kita dengan kefardhuan orang sebelum kita. Jadi, perumpaan itu sama dari segi apa?? Ulama menyatakan bahawa sama dari segi bilangan,masa dan tempoh. Orang Yahudi dan Nasrani juga difardhukan tetapi mereka menambah,menukar dan terus menukar sehingga ke hari ini.

15- TATTAQUN : inilah bekalan dan pakaian kita di akhirat. فإن خير الزاد تقوى ---ولباس التقوى ذالك خير ……. Dan mudahan kamu lemah , bila lemah kurang maksiat…kurang dosa dan masuk syurga.

16-
Maka apabila kamu berpuasa, nescaya kamu telah binasakan nafsumu dengan puasamu. Dicukupi nafsu daripada keinginan. Maka puasa itu membinasakan kehendak nafsu. Dan padanya dapat menyucikan hati, membaiki anggota zahir, dan memperingati kita agar berbuat baik kepada orang fakir, kembali kepada Allah, dan bersyukur ke atas nikmat yang dikurniakan Allah dan keringanan hisab di hari akhirat. Kurniaan Allah pada mentaufikkan engkau untuk berpuasa terlebih besar daripada engkau mensyukuri kurniaan itu. Daripada sebab puasa engkau ialah engkau tidak dituntuti ganti. (Minhaj Al-Abidin Imam Ghazali).

Allah berfirman: Wahai Ridhwan , bukakanlah pintu syurga untuk orang yang berpuasa dari kalangan umat Muhammad , dan Allah berfirman lagi: Wahai Malik, tutuplah pintu neraka daripada umat Muhammad yang berpuasa, Allah berfirman lagi: Wahai Jibril , turunlah engkau ke bumi , maka dibelenggu dan diikat kehendak Syaitan dan ikatlah mereka dengan rantai-rantai, kemudian lemparkan mereka ke dalam lautan sehingga mereka tidak dapat merosakkan puasa umat kekasihKu Muhammad. Maka Allah berfirman pada setiap malam daripada malam bulan Ramadhan sebanyak tiga kali: Adakah ada orang yang meminta,maka nescaya aku akan memberi permintaannya, adakah ada orang yang bertaubat,maka nescaya aku akan menerima taubatnya, adakah ada orang yang memohon keampunan, maka nescaya aku akan mengampunkannya. (Keratan Hadis Kitab Tanbih Al-Qofilin m/s 249).

Selasa, 27 April 2010

KAMI MENGHARAP SYAFA'ATMU

Syafaat bermaksud memohon keampunan daripada Allah Ta’ala untuk hambanya. Allah mengurniakan kepada Baginda صلى الله عليه وسلم kita satu kelebihan yang sangat besar dan juga menguntungkan kita sebagai umatnya . Di mana Baginda صلى الله عليه وسلم akan memberi syafa’at kepada umat-umatnya dan umat-umat yang terdahulu. Terdapat juga syafa’at yang datang datangnya dari malaikat, nabi-nabi dan juga orang-orang yang soleh.
Terdapat banyak jenis syafa’at Baginda صلى الله عليه وسلم. Antaranya ialah:
1) Syafa’at untuk merehatkan keadaan makhluk-makhluk ketika ditimpakan kepada mereka kesusahan di Padang Mahsyar dan penantian padanya. Syafa’at ini dikhususkan kepada Baginda صلى الله عليه وسلم seorang sahaja dan ianya juga dinamakan As-Syafa’at Al-’Uzmah dan Al-Maqam Al-Mahmudah (yakni seperti di dalam doa selepas azan).
2) Syafa’at kepada golongan-golongan terpilih untuk masuk ke syurga tanpa di hisab.
3) Syafa’at bagi golongan yang melakukan dosa-dosa besar dari kalangan umat Baginda صلى الله عليه وسلم supaya dikeluarkan mereka dari neraka dan dimasukkan mereka ke dalam syurga.
4) Syafa’at bagi golongan yang dihisab dan layak untuk masuk ke dalam neraka supaya tidak masuk ke dalamnya.
5) Syafa’at untuk meningkatkan lagi peringkat-peringkat ahli syurga.
6) Syafa’at untuk meringankan azab sebahagian orang kafir seperti Abu Lahab yang bergembira dengan kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم.
7) Syafa’at bagi memudahkan perjalanan di atas as-Siroth (titian) dan al-Mizan (timbangan amalan).

Isnin, 12 April 2010

ALAMAT HATI SAKIT



Kufur – Munafik – Zalim – Hasad – Megah – Takabbur - Perasaan - Mengumpat – Mengadu domba – Lalai – Jahil - Bid’ah - - Berbohong – Bercakap banyak – Bakhil – Kedekut – Suka mengikut keinginan jahat – Meninggalkan suruhan Allah – Melakukan larangan – Meninggalkan suruhan kebaikan dan larangan kejahatan – Sesungguhnya kejahatan itu sangat menggelapkan hati, menghitamkan wajah, melemahkan badan – mengurangkan rezeki – dibenci di hati-hati makhluk.

Isnin, 5 April 2010

PEWARIS NABI







Kita mengetahui kepentingan bersahabat dan berdamping dengan syeikh-syeikh mursyid untuk naik kepada peringkat kesempurnaan iman. Persoalannya sekarang, apakah ciri-ciri yang perlu ada pada syeikh-syeikh tarekat (Pewaris Nabi) yang membuktikan beliau betul-betul mursyid. Terdapat syarat-syarat keahlian dan kepakarannya yang perlu ada pada syeikh-syeikh mursyid itu. Syarat-syarat itu ialah arif dalam bidang fardhu 'ain, mengenal sifat-sifat Allah ('arif billah), sangat berpengalaman dengan jalan-jalan menyucikan diri dan landasan-landasan pentarbiahan diri dan perlu mendapat keizinan daripada syeikhnya yang juga mursyid untuk membawa ahli ke jalan Allah.




Ibn Sirin R.A pernah berkata:" Sesungguhnya ilmu itu adalah agama. Maka hendaklah kamu teliti daripada siapakah kamu ambil agama kamu ". Rasulullah S.A.W telah mewasiatkan kepada Ibn Umar R.A dengan sabdanya :

" Lazimilah agamamu ! Lazimilah agamamu! Sesungguhnya ia adalah daging dan darahmu. Hendaklah kamu teliti daripada siapakah kamu ambil. Ambillah ilmu agama daripada orang-orang yang benar dan janganlah kamu ambil daripada orang-orang yang sesat".

Ringkasannya, banyak alamat yang perlu dilihat pada seorang syeikh. Antaranya apabila kita duduk bersamanya, kita akan merasakan hembusan iman dan kegembiraan rohani. Mereka tidak akan berkata-kata kecuali kerana Allah, tidak bertutur kecuali kebaikan, tidak bercakap kecuali memberi peringatan atau nasihat.



Kita pula dapat mengambil faedah daripada persahabatan atau berdampingan dengannya seperti mana faedah yang kita dapat menerusi kalamnya. Manfaat yang kita dapat ketika berdekatan dengannya sama seperti manfaat bila dia jauh meninggalkan kita. Kita juga mendapat manfaat yang sangat besar daripada pandangan lirik matanya seperti mana kita mendapat manfaat daripada lafaznya. Sesungguhnya semua ini didapati melalui kecapan rasa apabila bersama mereka. Siapa yang mengecap rasanya pastinya dia akan mengetahui dan apabila mengetahui kelazatannya, sudah tentu dia akan mengautnya.

ALAMAT HATI SIHAT



Berzikir kepada Allah – Membaca al-Quran – Bersalawat kepada Nabi – Bertaubat – Beristiqfar – Sayang kepada Rasulullah – Bertaqwa – Meninggalkan maksiat – Ikhlas – Adil – Kecerdikan – Bermuhasabah diri – Mementingkan orang lain – Banyak bersedekah – Berbuat baik – Menundukkan mata – Menjaga kemaluan – Malu – Berilmu – Bersabar – Bersyukur – Zuhud – Berpuasa – Qiamullail – Banyak doa – Bertawakal kepada Allah – Mengingati Allah – Pemaaf – Ihsan – Sesungguhnya kebaikan itu sangat memberi cahaya kepada hati, kekuatan di dalam badan, mencerahkan wajah, meluaskan rezeki dan dikasihi di hati-hati makhluk.

Ahad, 28 Mac 2010

ZAHIRNYA DIRIMU

KELAHIRAN JUNJUNGAN MULIA SAIDINA MUHAMMADصلى الله عليه وسلم
Hari kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم kita adalah suatu nikmat yang amat besar kepada kita. Setiap kenikmatan tidak sempurna tanpa ada kesyukuran. Nikmat Allah yang tidak terhitung itu perlu kepada kesyukuran agar manusia tidak terjerumus di dalam kekufuran nikmatNya. Kesyukuran dapat dizahirkan dengan menyebut, mengingat nikmat itu dan menggunakannya pada tempat yang betul. Hari kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلمatau lebih dikenali dengan Maulid ar-Rasulصلى الله عليه وسلم juga menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk mengingati dan menyebutnya. Amalan ini juga membuktikan bahawa kita amat berterima kasih kepada Allah dan Bagindaصلى الله عليه وسلم . Benarlah sabda Bagindaصلى الله عليه وسلم

”Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, nescaya dia tidak berterima kasih kepada Allah”.

Menyambut kelahiran Bagindaصلى الله عليه وسلم juga dianjurkan secara umum di dalam al-Quran pada ayat terakhir Surah Ad-Dhuha dengan firman Allah :

”Dan terhadap nikmat Tuhanmu, Maka hendaklah kamu siarkan. ”

Tidakkah kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلمyang diakui oleh Allah sebagai rahmat sekalian alam adalah sebagai suatu nikmat yang agung? Benarlah kata guru saya Baba Muhammad Al-Firasi: Rahmat bererti nikmat daripada Allah yang dibesarkanNya. Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri telah membuktikan kesyukurannya terhadap nikmat kelahirannya apabila Baginda صلى الله عليه وسلم seringkali berpuasa pada hari Isnin. Sahabat pernah bertanya tentang sebab amalan itu dilaksanakan oleh Bagindaصلى الله عليه وسلم . Lalu Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab :

” Itulah hari saya dilahirkan”.

Jika Baginda صلى الله عليه وسلم menyambut hari kelahirannya dengan melaksanakan sesuatu amalan yang berbentuk ibadat iaitu berpuasa, kenapa kita tidak boleh mengikuti sunnah Baginda صلى الله عليه وسلم dengan amalan berbentuk ibadat lain seperti kenduri, majlis ilmu, ceramah, berzikir dan lain-lain?
Seseorang pasti gembira dengan kelahiran anak, cucu atau saudaranya. Kegembiraan itu sebenarnya tidak dapat menandingi kegembiraan orang yang sempurna imannya terhadap kelahiran Junjungan Mulia صلى الله عليه وسلم . Baginda صلى الله عليه وسلم pernah bersabda:

”Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihiku lebih daripada dia mengasihi dirinya sendiri, ibu-bapanya dan sekalian manusia”.

Baginda juga pernah bersabda:

”Didikkanlah anak-anak kamu dengan 3 perkara, kasih kepadaku, kasih kepada keluargaku dan membaca al-Quran ”.

Orang yang mengasihi sesuatu pastinya bergembira apabila muncul apa yang dikasihinya. Allah telah mengarahkan kita agar bergembira dengan kewujudan Bagindaصلى الله عليه وسلم di dalam firmanNya Surah Yunus, ayat 58 :

Katakanlah: "Dengan kurnia Allah (yakni al-Quran) dan rahmat-Nya (yakni Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم), hendaklah dengan itu mereka bergembira. kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan".

Apabila kita mengetahui bahawa sambutan hari kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم adalah dianjurkan di dalam Islam, maka marilah sama-sama kita meneliti sedikit demi sedikit hikmah Allah memilih hari kelahiran kekasihNya صلى الله عليه وسلم ini. Peristiwa bersejarah ini berlaku selepas subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal Tahun Gajah bertempat di Sya’bi Bani Hasyim.

Malam kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم kita menjadi idaman para orang yang bertaqwa kerana malam itu terlebih mulia daripada malam Lailatul Qadar, malam nuzul al-Quran, malam Jumaat dan malam-malam yang lain. Di sini saya ingin memetik beberapa hujah As-Syeikh Al-Khatib Al-Hajj Ar-Rihal Muhammad Bin Ahmad Bin Marjuq tentang kelebihan malam kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم ke atas malam Laillatul Qadar. Antaranya ialah setiap kemuliaan sesuatu malam bergantung kepada sebab ianya dimuliakan. Maka kemuliaan malam kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم disebabkan kelahiran sebaik-baik makhluk iaitu Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri. Malam itu juga adalah malam kemunculan Baginda , manakala malam Lailatul Qadar adalah hadiah Allah untuk Baginda. Pastinya orang yang dihadiah itu lebih mulia daripada hadiah itu sendiri. Malam Lailatul Qadar menjadi mulia kerana turun padanya para malaikat tetapi malam kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلمmenjadi mulia kerana munculnya diri Baginda صلى الله عليه وسلم. Maka pastinya diri Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم lebih mulia daripada para malaikat. Malam Lailatul Qadar bermanfaat kepada golongan yang beramal pada waktu dan ketika itu sahaja tetapi malam kelahiran Baginda bermanfaat kepada semua makhluk pada setiap masa dan ketika.

Hari yang dipilih oleh Allah untuk menzahirkan kekasihNya صلى الله عليه وسلم di muka bumi ini ialah hari Isnin. Hari ini melambangkan kesuburan, keindahan, ketenangan, kebaikan dan keberkatan. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم di dalam Musnad Imam Ahmad :

” Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mencipta segala pokok pada hari Isnin”.

Segala makanan, rezeki, buah-buahan, kebaikan diciptakan pada hari itu kerana manusia berhajat kepadanya untuk hidup ,mengubati penyakit, melapangkan hati ketika melihatnya dan ketenangan jiwa. Begitu jugalah kewujudan Baginda صلى الله عليه وسلم pada hari itu sebenarnya menjadi penyejuk mata hati setiap makhluk Allah dan kebaikannya mengatasi segalanya.

Setelah kita mengetahui beberapa perkara di atas, mari pula kita hayati hikmat Allah Ta’ala memilih bulan Rabi’ul Awal sebagai bulan kelahiran Baginda sedangkan bulan itu tidak menjadi sebut-sebutan bagi orang arab ketika itu. Rabi’ bermakna musim bunga yang mana pada musim itu tumbuhlah benih-benih dengan suburnya. Ketika itu, udara tidak terlalu kering dan tidak terlalu lembap, cuaca pula tidak terlalu panas dan tidak terlalu basah, matahari pula tidak terlalu jauh dengan bumi dan tidak terlalu dekat dan malam serta siangnya tidak terlalu lama dan tidak terlalu singkat. Pada musim itu biasanya manusia dijauhi dengan segala penyakit, kekuatan badan mereka ditahap yang baik dan lapang hati mereka melihat tumbuh-tumbuhan mekar berkembang. Musim ini suatu musim yang pertengahan dari segala aspek dan setiap yang berada di pertengahan itu adalah sesuatu perkara yang paling baik. Bertepatanlah dengan sabda Baginda :

” Sebaik-baik perkara adalah yang dipertengahannya ”

Begitu jugalah keadaan agama Islam yang dibawa Insan yang dilahirkan pada tanggal 12 di musim bunga iaitu Nabi Muhammad yang menonjolkan kesederhanaan dan kemuliaan agamanya. Setengah ulama mengatakan bahawa, jikalau Baginda dilahirkan pada hari Jumaat dan pada bulan-bulan yang mashyur seperti Ramadhan, Syawal atau selainnya, pastinya ada orang yang tersalah anggap bahawa kelahiran Nabi menjadi mulia dengan sebab hari dan bulan-bulan tersebut. Sebenarnya kemulian Baginda lansung tidak bergantung kepada kelebihan yang lain sebaliknya kelebihan Baginda dipinta dari yang lain.






anda pelawat yang ke-

Pengikut