Sabtu, 5 Februari 2011

ENGKAULAH RAHMAT.....






ENGKAULAH RAHMAT......



Pernah aku terfikir satu ketika dahulu tentang kaitan firman Allah Ta'ala : " Tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan engkau adalah rahmat sekalian alam". dan hadis Baginda S.A.W yang memberi pengertian bahawa Allah memiliki 100 gedung rahmat tetapi hanya satu gedung saja rahmat diturunkan ke dunia. 99 gedung rahmat yang lain disimpan untuk hamba-hambaNya yang dikasihi di negeri akhirat. Apabila aku merenung hadis yang menunjukkan hanya satu rahmat diberi oleh Allah dan di dalam Al-Quran pula Allah menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W adalah rahmat, maka terlintas di fikiranku adakah gedung rahmat yang diturunkan itu adalah Rasulullah S.A.W ?? Aku mencari dan terus mencari jawapan dari hari ke hari. Di dalam fatrah itu, aku bertemu dengan sahabatku di alam maya. Lalu aku mengirimkan persoalan ini kepada guruku Al-Musnid As-Syeikh Muhammad Abu Zeid melalui sahabatku. Beberapa hari selepas itu sahabatku menghubungiku semula bersama jawapan daripada guruku. Guruku hanya menjawab dengan jawapan ringkas iaitu " Ya".






Bermula saat itu aku bertambah kagum dengan kelebihan Baginda S.A.W. Subhanallah!!!. Rupanya kasih sayang yang kita miliki sesama manusia dan makhluk lain adalah berpunca daripada Rasulullah S.A.W. Kenapa tidak?? Sedangkan termaktub di dalam hadis yang soheh bahawa Allah telah menurunkan rahmatNya dan dengan sebab rahmat itulah seekor kuda betina pun tidak akan memijak anaknya ketika ia melahirkan anak. Perkara ini berlaku tidak lain tidak bukan kerana Rahmatnya Rasulullah S.A.W.


Aku meneliti lagi ayat Al-Quran yang membuktikan bahawa Baginda S.A.W rahmat sekelian alam. Aku teringat kembali sepanjang pengajian bersama guru-guruku , sering aku difahamkan erti sebenar alam. Semua mahkluk yang diciptakan dinamakan alam. Jika disebut dengan ibarat yang lain : alam adalah semua makhluk kecuali Allah. Jadi mana mungkin Baginda S.A.W menjadi rahmat kepada semua makhluk seperti batu, bukit, pokok, haiwan, makanan, manusia , jin , malaikat dan lain-lain?? Aku menyemak kembali tafsiran-tafsiran ulamak tentang ayat itu. Tiba-tiba aku terbaca tafisran Imam Sya'rawi seorang ulamak yang tersohor di Mesir. Beliau mengupas secara ringkas ayat ini dengan mengatakan bahawa Baginda S.A.W memang rahmat semua makhluk.

Contohnya rahmat kepada haiwan, baginda ada bersabda bahawa setiap tanaman yang dimakan oleh burung-burung atau haiwan-haiwan itu dinamakan sedekah bagi makhluk-makhluk itu.

Contoh rahmat kepada bukit dapat kita ketahui daripada pengakuan Baginda S.A.W yang mencintai bukit Uhud dan begitu juga bukit itu mencintainya.


Baginda S.A.W juga rahmat kepada nabi-nabi dan rasul-rasul lain kerana Baginda S.A.W pelengkap bagi kenabian dan kerasulan mereka semua.




Rahmat kepada Malaikat di mana di dalam Riwayat menyatakan bahawa Jibril sentiasa risau dan gelisah sehinggalah Baginda S.A.W muncul bersama wahyu Allah.


Contoh rahmat kepada syaitan ialah qarin Baginda S.A.W memeluk Islam dengan keberkatan Baginda S.A.W.


Baginda S.A.W juga rahmat kepada orang kafir kerana mereka tidak diazab di dunia oleh Allah apabila mereka mengkufuri Allah . Berbeza dengan umat nabi sebelumnya yang mana Allah akan menurunkan azab serta merta apabila umat itu mengkufuri Allah.


Bahkan Baginda S.A.W juga rahmat untuk umat-umat terdahulu ketika di akhirat kerana syafa'at yang terbesar adalah miliknya dan umat-umat dahulu pun akan mendapat syafa'atnya .


Berita yang paling menggembirakan kita umat Islam adalah rahmat Baginda S.A.W amat besar bagi kita semua kerana kita adalah umatnya. Tidaklah kita semua menjadi mulia kecuali dengan kemulian Baginda S.A.W. Baginda S.A.W telah mengatakan bahawa sesiapa yang tidak mempunyai anak yang mati ( seorang anak atau 2 orang anak yang mati akan memberi syafa'at kepada ibu bapanya di akhirat) , maka Bagindalah S.A.W yang akan menggantikan tempat anak itu bagi yang tidak mempunyai anak yakni Bagindalah S.A.W akan memberi syara'at kepada umat-umatnya.






Ya Rasulullah S.A.W, janganlah jadikanku orang yang terhijab dari diri dan syafa'atmu. Sambutlah tanganku, bawaku bersamamu kepada Allah. Sesungguhnya engkau Nabi Rahmat sekelian alam dan aku aku sebahagian daripada alam. Jadilah kasih sayangku kasih sayang yang sebenar-benarnya dengan keberkatan dirimu.......Amin......






anda pelawat yang ke-

Pengikut