Rabu, 9 Mac 2011

JIWA YANG KOSONG

JIWA YANG KOSONG

Ikan yang hidup dalam keadaan tiada air pasti akan menemui kematian kerana air adalah sumber kehidupannya buat selama-lama. Ia tidak dapat dipisahkan daripada air. Pokok-pokok pula sangat berhajat kepada karbon dioksida untuk kekal hidup. Begitu juga kita sebagai manusia akan mati seandainya tiada oksigen yang dapat dihirup. Oksigen untuk jasmani kita tetapi bagaimana pula oksigen untuk rohani kita?
Rohani manusia perlu kepada oksigen untuk menghidupkannya agar ianya tidak mati, merasa kekosongan, keresahan, ketakutan dan kesakitan. Hati kita perlu sesuatu untuk memulihkannya dan menghidupkanya semula. Ya, sememangnya ia memerlukan sesuatu tapi…. Apakah ia yang sanggup menjadi seperti air bagi ikan , karbon dioksida bagi tumbuh-tumbuhan dan oksigen bagi manusia???





Mungkinkah hiburan muzik boleh menghidupkan hati dan menyembuhkan kegelisahannya?? Jadi, perlulah dibelanjakan sejumlah wang untuk mendapat sebuah ketenangan yang dicari-cari. Adakah ketenangan itu perlu kepada perbelanjaan untuk membelinya?? Bagaimana pula golongan yang fakir dan tidak mempunyai kemampuan untuk itu. Zalim dan sangat zalim bagi mereka yang tidak ada kemampuan dan seterusnya tak mampu miliki ketenangan hati. Mungkin tidak, dan memang tidak tepat kerana berapa ramai orang yang mendengar muzik bahkan artis yang mengalunkan lagu dan memainkan muzik , namun hati mereka masih dalam kebingungan. Hidup dan keluarga mereka porak-peranda. Mereka menzahirkan ketenangan, keseronokkan dan kekayaan. Namun, mereka terus mencari dan mencari sesuatu untuk menjadi pengubat hati mereka. Apakah mereka menemuinya ?? Tidak sama sekali.




Atau rokok yang sangat ditagihi oleh pencinta-pencintanya bertujuan untuk menghilangkan rungsing. Sebatang rokok harganya RM0.70 atau lebih mahal. Sebatang atau dua mungkin menghilangkan tahap keserabutan hati mereka walaupun jantung makin hari makin kian hitam. Ketagih pula makin pula makin sakan. Kalau tidak dihirup asap sehari tentu jadi tak menentu. Itukah yang dinamakan ketenangan hati?? Mungkin tidak dan sememangnya tidak sama sekali.
Atau arak , kelab malam dan perempuan. Wal’iyazubillahi min zalik ( perlindungan Allah dipohon daripada demikian itu ). Cukuplah dengan larangan Allah tentang menjauhi zina dan arak. Setiap larangan mempunyai mudharat dan keburukan. Tidak mungkin semua itu menjadi ubat penenang hati. Keseronokkan yang sangat sebentar itu mendatangkan kegelisahan yang berpanjangan bagi si pelaku. Pastinya tidak dan tidak.
Sekarang hanya tinggal satu sahaja ubat terakhir yang difikirkan untuk mengubat hati ini iaitu mendekati diri kepada Yang Mencipta Kegelisahan dan Yang Mencipta Ketenangan. Siapakah Sang Pencipta semua itu. Dialah Yang Memberikan kegelisahan, kesusahan , kedukaan , kegembiraan, kesenangan dan sebagainya. Dia Yang Sangat Memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki dan apa sahaja yang dikehendaki.
Memohon kepadaNya perlu kepada permulaan yang terbaik iaitu menghampiriNya dengan memohon kemaafan daripadaNya. Adakah akan diberi sesuatu permintaan daripada seorang peminta seandainya yang diminta itu masih memarahi si peminta ? Engkau meminta kepadaku sedangkan engkau sangat bersalah dan tidak pernah memohon kemaafan daripadaku. Pastinya kata-kata itu yang akan dilemparkan kepada si peminta. Orang yang bercinta pasti mengaku kesalahannya dan memujuk rayu kekasihnya seandainya kekasihnya memarahinya. Setelah berjaya memujuk dan reda kemarahan pastinya mudah untuk meminta sesuatu daripada kekasihnya. Itulah kebiasaan peraturan sesama mahkluk.
Sekarang bukan dengan makhluk tetapi dengan Sang Pencipta makhluk. Mahu diminta kepadanya akan ketenangan hati dan kelapangan dada. Perlulah mengaku dan menyesal kesalahan kepadanya dan berazam untuk tidak mengulanginya. Pengakuan itu antara pesalah dengan Pencipta iaitu Allah . Pengakuan yang sangat sulit dan rahsia kepadaNya pasti membuka satu diari kehidupan baru Si Pesalah. Allah sangat gembira dan berbangga kepada hambaNya yang mengadu semua keterlanjuran dan kesilapan yang lalu serta ingin kembali kepadaNya. Allah gembira serta memuji kerana semua anak Adam bersalah dan sebaik-baik pesalah adalah yang bertaubat dan kembali kepadaNya. Allah bermegah dengan hamba itu terhadap para malaikat kerana pilihanNya menjadikan hamba itu khalifah di muka bumi sangat tepat.
Hamba yang kembali itu adalah hamba yang sentiasa beristiqfar kepadaNya. Sekurang-kurangnya 100x pagi hingga tengah hari dan 100x petang hingga sebelum tidur. Semakin bertambah istiqfar, nescaya makin bertambah anugerah Allah kepadanya. Sabda Nabi S.A.W :

“Sesiapa yang membiasakan diri dengan beristiqfar, nescaya Allah akan menganugerahkan jalan keluar daripada segala kesempitan, kesenangan daripada kesusahan dan dilimpahkan kepadanya rezeki yang tidak pernah disangka-sangkakan.” ( riwayat Ibnu Majah, Abi Daud & An-Nasa’i)

Lafaz istiqfar ialah:
أستغفر الله العظيم
Maksudnya: HambaMu ini memohon keampunanMu Ya Allah Yang Maha Agung.

Istiqfar yang berkesan adalah dengan lidah disertai maksudnya di dalam hati. Inilah permulaan yang sempurna bagi sesiapa yang menginginkan hidayah Allah. Lakukanlah sebaik mungkin kerana Allah tidak pernah membiarkan hambaNya keseorangan di dalam kesusahan. Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat……..

anda pelawat yang ke-

Pengikut