Isnin, 15 Ogos 2011

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN (part 2)

PUASA MENYEMAI KESABARAN


Puasa bererti 'Menahan diri dari makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sidik hingga terbenam matahari beserta niat'. Mari kita teliti perkataan "Menahan diri" yang ada pada pengertian puasa. Menahan diri bermaksud menahan nafsu daripada perkara yang dibenci. Antara perkara yang dibenci adalah menahan lapar , dahaga & nafsu syahwat kita. Menahan diri daripada perkara yang dibenci itu juga adalah takrif atau definisi bagi SABAR. Jadi bersabar adalah satu sifat yang akan wujud dalam ibadat puasa. Oleh kerana itulah Baginda S.A.W bersabda : "Puasa separuh daripada sabar" dan "Sabar separuh daripada Iman". Imam Al-Ghazali pula merumuskan bahawa puasa adalah 1/4 daripada iman berdasarkan gabungan dua hadis yang tersebut.


Sabar terbahagi kepada 3 bahagian iaitu :

(1) Sabar melakukan taat,

(2) Sabar menahan daripada melakukan maksiat,

(3) Sabar menahan ujian Allah.


Sabar di dalam melakukan ketaatan dapat kita hayati di dalam Ramadhan seperti berpuasa, solat tarawikh, membaca al-Quran dan lain-lain. Semua ibadah tersebut perlu kepada kesabaran. Sabar bahagian kedua pula adalah seperti sabar daripada melihat perkara yang haram, mengeluarkan kata-kata haram, mendengar perkara yang haram dan lainnya. Manakala sabar bahagia yang terakhir seperti menahan dugaan berbentuk penyakit, kemiskinan, ketiadaan anak, bencana alam dan lain lagi. Ketiga-tiga jenis sabar ini sangat dapat dilatih dan disemai pada bulan yang mulia ini melalui ibadah berpuasa.


Baginda S.A.W telah membuktikan kesabarannya dengan menghadapi pelbagai keadaan . Baginda S.A.W sanggup bersabar di dalam melakukan ketaatannya kepada Allah melalui pelbagai ibadah. Antaranya adalah bersabar di dalam kerja menggali parit ketika perang Khandak sedangkan makanan umat Islam ketika itu terputus selama 3 hari. Kerja menggali itu adalah ibadah kerana Baginda S.A.W ingin mempertahankan agama Islam. Baginda S.A.W sanggup berlapar di dalam melakukan ketaatan itu sehingga perutnya yang mulia diikat dengan dua ketul batu untuk menahan lapar.


Baginda S.A.W juga menahan kesabaran daripada melakukan maksiat walaupun dicerca dan dihina. Pembesar Quraish menawarkan perlbagai tawaran yang istimewa untuk Baginda S.A.W meninggalkan dakwahnya. Berpaling daripada dakwah adalah satu kemaksiatan baginya. Namun Baginda S.A.W cekal dengan matlamat asalnya diutuskan kepada sekalian alam dan sentiasa bersabar daripada berpaling ke jalan yang tidak diredhai.


Di dalam berjalan menuju Allah , Baginda S.A.W menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan . Semua itu Baginda S.A.W hadapinya dengan penuh kesabaran kerana Baginda mengetahui bahawa ganjaran bagi orang yang bersabar adalah tiada terhitung seperti yang termaktub di dalam firman Allah.


Jadi, di dalam perjalanan puasa kita seharian telah tersemai sifat sabar seandainya kita menghayatinya. Sifat ini perlu kita sirami dan bajai hingga subur di bulan-bulan yang lain. Kita juga perlu sedar bahawa sifat ini adalah sifat yang sangat mulia dan sangat dicintai Allah. Buktinya kita dapat lihat pada firman Allah yang menyatakan bahawa Allah menyertai orang-orang yang bersabar. Penyertaan Allah dengan orang-orang yang bersabar bermakna keredhaanNya di dunia dan janji syurga terhadap mereka di akhirat.


Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang yang bersabar dengan keberkatan bulan Ramadhan dan dibangunkan di akhirat sebagai golongan yang Allah redhai . Allahumma amin.....

anda pelawat yang ke-

Pengikut