Selasa, 12 April 2011

TUGAS ASAS MURID

TUGAS ASAS HARIAN MURID AN-NAQSYABANDIAH AL-KHALIDIAH AL-JUDIAH .(Part 1)


Sebahagian tugas asas harian murid An-Naqsyabandi Al-Judiah adalah melazimi zikir asas khas bagi jalan An-Naqsyabandi sehingga ianya menjadi wirid. Wirid bermakna amalan zikir atau amalan sunat yang di amalkan oleh seseorang sehingga amalan itu menjadi kelaziman baginya. Tidak dinamakan wirid kecuali selepas cukup 40 hari amalan. Seandainya seseorang itu tertinggal sehari atau beberapa hari , maka perlu digantikannya. Seandainya tidak diganti, maka amalan itu perlu diulang seperti hari yang pertama semula. Tempoh 40 ini telah disebut di dalam Al-Quran Surah Al-A’raf ayat 142, ketika mana Allah menjadikan satu perjanjian kepada Nabi Musa sebelum Baginda menerima Kitab Taurat. 142.


"Dan Telah kami janjikan kepada Musa (memberikan Taurat) sesudah berlalu waktu tiga puluh malam, dan kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), Maka sempurnalah waktu yang Telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam".


Asas Harian ( tidak ditetapkan masa ) yang ditentukan ialah :

1) Istiqfar = 258x

2) Solawat An-Nur = 258x

3) Tahlil = 258x

4) Ya Zal Jalali Wal Ikram = 258x

5) Ya Rahim = 258x

6) Asma’Ul-Husna berdasarkan nama seseorang murid.


Di dalam melakukan asas-asas tersebut, seorang murid perlu berwudhuk, mengasingkan diri ,membayangkan dirinya berada di hadapan guru dan memahami dan menghayati zikir-zikir tersebut.Semua ini dapat membantu seorang murid itu lebih menumpukan perhatiannya di dalam melaksakan asas-asas tersebut.


Bilangan sebanyak 258x adalah bertepatan dengan kiraan nama Allah iaitu Ar-Rahim. Nama Allah Ar-Rahim membawa makna Yang Mengasihani pada golongan yang beriman denganNya di negeri Akhirat. Harapan pengamal zikir adalah mendapat nasib & habuan daripada nama dan sifat Allah yang mulia ini . Tiada seorang pun akan selamat di akhirat kecuali golongan yang mendapat kasih sayang Allah sahaja.


1) Istiqfar Istiqfar adalah memohon kemaafan daripada Allah dari segala kesalahan samada kesalahan percakapan, perbuatan , lintasan hati dan juga pemerhatian. Murid perlu meninggalkan kesalahan itu semampu mungkin, menyesal dan berazam untuk tidak mengulanginya. Murid tidak boleh memandang ringan dosa kecil sebaliknya perlu melihat siksaan Allah yang Maha Besar. Manusia tidak mampu menahan seringan-ringan azab Allah di Akhirat. Baginda kita pernah menceritakan bahawa seringan-ringan azab Allah ialah seorang yang diarahkan berdiri di atas batu api neraka yang sangat panas sehingga bergelegak otaknya. Seorang murid tidak harus membezakan dosa kecil atau dosa besar sebaliknya merasakan bahawa dosa dan maksiat kepada Allah semuanya dianggap besar apabila memandang kehebatan Allah.


Lafaz istiqfar ialah: أستغفر الله العظيم Maksudnya: HambaMu ini memohon keampunanMu Ya Allah Yang Maha Agung.


Allah sangat menyukai hambanya yang memohon keampunan kepadaNya kerana perbuatan ini menunjukkan rasa rendah diri hamba kepada Penciptanya. Seorang murid perlu merasai bahawa dia setiap detik melakukan dosa kepada Allah dan meyakini bahawa Allah Maha Pengampun segala dosanya. Rasulullah pernah bersabda: “ Setiap anak cucu Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang kembali kepadaNya.

SYEIKH AT-THORIQAT AN-NAQSYABANDIAH AL-KHOLIDIAH AL-JUDIAH (part 1)

SYEIKH AT-THORIQAT AN-NAQSYABANDIAH AL-KHOLIDIAH AL-JUDIAH (part 1)


Beliau dilahirkan pada tahun 1944 daripada keturunan yang mulia. Bapanya Sayyid Muhammad Abu Al-Yazid Al-Mahdi daripada keturunan Saidina Hussain dan ibunya pula daripada darah daging Wali Qutub yang terbilang iaitu Saiyyid Judah Bin Ibrahim . Ayahandanya berasal daripada Kampung Az-Zamruniah di negeri Al-Qalyubiah Mesir. Beliau diberi kuniah sebagai Abu Yazid atau Abu Al-Yazid kerana di kampungnya itu terdapat maqam wali unggul , sultan bagi segala ‘arif billah iaitu Saiyyid Abu Yazid Al-Bustami R.A. Syeikh Dr. Judah juga dilahirkan di kampong ayahandanya. Beliau menghafaz Al-Quran di kampungnya semenjak kecil. Kemudian berpindah ke Ma’had Tanta Al-Ahmadi yang masyhur.


Beliau telah bertalaqi dengan ramai ulamak yang hebat seperti Arif Billah As-Syeikh Sobir Hijab saudara Sayyid Ahmad Hijab yang dikebumikan di Masjid Sayyid Ahmad Badawi R.A. Gurunya yang lain adalah Arif Billah yang masyhur As-Syeikh Muhammad Khalil Al-Khatib yang dikenali sebagai Penyair Rasulullah S.A.W. Syeikh kita ini membesar dengan mengikut mazhab Syafi’e (fekah), Asy’ari(akidah), Naqsyabandiah Al-khalidiah Al-Judiah (akhlak) di mana semuanya di atas landasan Ahli Sunnah Wal Jama’ah. kemudian Syeikh kita ini meneruskan pengajiannya di Universiti Al-Azhar di dalam Kuliyyah Usuluddin dan ditarbiah oleh tangan-tangan ulamak yang terkemuka. Antaranya SyeikhulIslam Al-Imam Al-Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud dan Syeikh Arif Billah Mahmud Abi Al-‘uyun dan Al-Mufassir As-Syeikh Al-Ahmadain dan lain-lain.


Pernah Imam Akbar meminta daripada beliau dan pelajar-pelajar lain satu bahas tentang Hujjatul Islam Imam Ghazali R.A dan ketika itu Syeikh belum mencecah 20 tahun. Apabila Imam Akbar membaca bahas Syeikh, beliau terus menyuruh agar Syeikh menggantikannya mengajar pada hari itu. Maka benarlah firasat Imam Akbar tentang perkara itu dan jadilah Syeikh Judah seorang yang sentiasa mempertahankan hak Wali-Wali Allah daripada musuh-musuh mereka hingga sekarang. Kitabnya mengenai Wali Allah Sayyid Ahmad Badawi sangat terkenal.


Beliau berpindah ke Tanta kerana mengikut ayahandanya iaitu Al-‘Arif Billah Abu Al-Yazid yang telah mendapat isyarat daripada mimpinya bertemu dengan Syeikh Judah Ibrahim. Syeikh Judah mengarahkannya agar berpindah ke Tanta berdekatan dengan Maqam Wali Qutub Saiyyid Ahmad Badawi dr. Judah telah mencapai peringkat Master dan PHD di dalam bidang Tafsir. Tesis PHD beliau adalah mengenai Manhaj Imam Abi Al-Hasan Al-Wahidi di dalam tafsirnya.


Pada akhir tahun 80-an, beliau dilantik menjadi Dekan Kuliyyah Usuluddin dan seterusnya menjadi Dekan Kuliyyah Al-Quran Al-Karim. Beliau telah berkhidmat puluhan tahun kepada Al-Quran dan ilmunya.

Selasa, 5 April 2011

Adakah Maqam Saidina Hussein Disembah??

ADAKAH MAQAM SAIDINA HUSSEIN DISEMBAH ???


Pernah juga aku diberikan kain milik ibuku ketika aku berjauhan dengan mereka kerana tinggal di asrama. Ayahku juga pernah memberi tasbih yang dia kasihi kepada apabila aku ingin berangkat ke Tanta untuk melanjutkan pengajian ijazahku satu ketika dahulu. Kedua-dua pemberian itu adalah sebagai pengubat rinduku kepada mereka. Gambar mereka aku tatap apabila merindui mereka. Apalah dayaku ketika itu. Tidak mampu bertemu dengan mereka tetapi memegang dan mengucup pemberian mereka sudah memadai bagiku.


Itulah kasih sayang anak kepada ibu bapa. Persoalannya ..... Bagaimana pula kasih sayang kita terhadap Rasulullah S.A.W dan keluarganya seperti Saidina Hussein. Kita tidak pernah melihat mereka. Kita tidak ada apa yang bisa menghilangkan kerinduan kita kepada mereka melainkan menziarahi maqam-maqam mereka. Seandainya kita berada di Mesir, pastinya kita akan sering ke maqam itu kerana rindu dan cinta kita tidak mampu kita tahan lagi. Bagaimana kita tidak rindu dan cinta kepada Saidina Hussein sedangkan beliau adalah kekasih bagi kekasih Allah. Beliau adalah kekasih Nabi S.A.W dan wangian bagi Baginda S.A.W. Beliau adalah penghulu ahli syurga bagi golongan pemuda seperti mana yang dijanjikan Baginda S.A.W.


Kita ingin memeluk Saidina Hussein tapi apalah daya kita kerana beliau telah pergi bertemu dengan Allah terlebih dahulu. Kita hanya mampu memeluk dan mengucup maqamnya sahaja. Itulah saja yang mampu kita lakukan. Kita mengucup setiap inci maqam beliau bukti kecintaan kita seperti mana kita mengucup setiap inci wajah anak & isteri kita. Kita menyapu-nyapu maqam beliau untuk mengambil keberkatan kerana kita tidak mampu memegang jasadnya. Mengapakah perlu menolak keberkatan yang ada padanya sedangkan Baginda S,A,W pernah mengucup beliau. Setiap yang disentuh Nabi S.A.W semuanya ada keberkatan. Seperti mana setiap kali sebelum kita makan kita memohon keberkatan bagi rezeki yang Allah kurniakan kepada kita , begitu jugalah kita memohon keberkatan daripada Allah bagi Penghulu Pemuda Ahli Syurga. Memohon keberkatan dianjurkan di dalam Islam melalui Al-Quran & As-Sunnah.


Ada di antara kita apabila berhadapan dengan maqam Saidina Hussein lalu terus sujud sebagai tanda kepadanya. Sujud kepada makhluk tidak diharamkan seperti mana malaikat diarahkan sujud kepada Nabi Adam A.S . Sujud ini bererti menghormati bukan menyembah. Kita semua melakukannya berdasarkan dalil Al-Quran dan As-Sunnah. Dalil mana lagikah yang diingini oleh musuh-musuh Penghulu Pemuda Ahli Syurga ini ??? Para sahabat juga pernah mengucup kaki Saidina Abbas kerana menghormati beliau sebagai keluarga Nabi S.A.W.


Kita sebagai pengikut ahli sunnah sudah lama berikhtikod bahawa Allah adalah Allah & mahkluk adalah makhluk walau semulia mana pun mereka. Nabi S.A.W , keluarganya dan para auliya adalah makhluk yang bukan untuk disembah tetapi untuk dihormati. Kita telah lama berpegang dengan pegangan itu. Apa yang kita lakukan seperti sujud, kucup, peluk dan lain-lainya adalah tanda hormat dan kasih sayang. Tersuci hati kita daripada menduakan Allah ataupun menyamakannya dengan makhluk.


Cuba bayangkan kembali seandainya tasbih yang diberikan oleh ayah aku dan kain ibuku tadi dikoyak, dirosakkan dan dibuang oleh seseorang. Adakah layak bagi aku mendiamkan diri di atas perbuatan orang tadi? Tidakkah bisa aku memarahi penceroboh itu?? Semestinya tidak, tidak dan tidak.... Aku takkan mendiamkan diri. Aku akan bertindak semampu aku untuk mempertahankan hakku.


Bagaimana pula dengan Saidina Hussein??? Yang mana Maqamnya dicerobohi??? Adakah masuk akal bagi seorang yang mengaku beriman dengan Allah & Rasul S.A.W dan mengasihi keluarga Rasulullah S.A.W kerana arahan Baginda S.A.W, berdiam tanpa lansung menunjukkan kemarahannya sedangkan ketika itu wajib ke atasnya merasa marah?????? Tempat kekasih kita ingin diceroboh !!! Bagaimana kita mampu diam ???


Maqam Saidina Hussein bukan tempat sembahan seperti yang dilemparkan tuduhannya oleh Wahabi tetapi untuk bermadu kasih dengan Penghulu Pemuda Ahli Syurga dan tempat untuk mengambil keberkatan. Tempat ini menjadi bukti di akhirat nanti bahawa kita layak menerima syafa'at daripada Saidina Hussein kerana kita menyayanginya. SESEORANG ITU BERSAMA ORANG YANG DIKASIHINYA.

Isnin, 4 April 2011

Apakah Itu Tasawwuf Islam???

Apakah Itu Tasawwuf Islam???

Tasawwuf itu dapat ditakrifkan dengan pelbagai takrif yang mana boleh kita ringkaskan kesemua takrif itu dengan erti kata : ( Tasawwuf adalah penyucian diri daripada semua sifat tercela yakni sifat mazmumah & menghiasinya dengan semua sifat terpuci yakni sifat mahmudah ).


Penyucian & penghiasan ini bertujuan untuk menuju kepada peringkat paling dekat dengan Allah dan sampai kepadanya (yakni mengenaliNya dengan sebenar-benarnya & beribadat dengan sebaik-baiknya).


Tasawwuf adalah satu persediaan untuk membina seorang insan yang berkualiti, dan menghubungkan dirinya dengan Sang Pencipta dari setiap aspek pemikiran, percakapan, amalan, niat, dan pada setiap tempat ia berada pada seluruh kehidupannya.


Kita boleh meringkaskan lagi takrif di atas menjadi satu kalimah iaitu TAQWA yang berada pada peringkat yang paling tinggi dari segi jasmani dan rohani.


Takwa adalah satu pegangan, akhlak, ibadat kepada Allah dengan sebaik-baiknya, dan interaksi sesama hamba dengan sebaik-baik akhlak. Tujuan inilah diturunkan wahyu kepada setiap Nabi dan di atas paksi inilah berlegar hak-hak kemanusiaan yang tinggi di dalam Islam.


Roh takwa pula ialah penyucian dan firman Allah Ta'ala di dalam surah Al-A'la - ayat 14 : (Sesungguhnya berjayalah golongan yang suci) & di dalam surah As-Syam - ayat 9 : (Sesungguhnya telah beruntunglah orang yang menyucikan diri mereka).



(Terjemahan daripada Abjadiah At-Tasawwuf - Arif Billah Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim)

anda pelawat yang ke-

Pengikut