Selasa, 1 September 2009

Risalah Pengharusan Bacaan Al-Quran


RISALAH PADA MENGHARUSKAN HADIAH BACAAN AL-QURAN DAN SEKELIAN IBADAT UNTUK ORANG YANG HIDUP DAN MATI

KARANGAN AS-SYEIKH AL-USTAZ AD-DUKTUR JUDAH MUHAMMAD AL-MAHDI رضى الله عنهما
( BEKAS DEKAN KULIYYAH AL-QURAN AL-KARIM – MUDAH-MUDAHAN ALLAH MENJAGA DAN MEMANJANGKANUMUR BELIAU DI DALAM RAHMAT ALLAH )




Sebahagian daripada kebenaran-kebenaran yang kukuh yang telah ditetapkan oleh Al-Quran Al-Karim, As-Sunnah yang suci, ijmak dan dikuatkan lagi oleh Ulama’ Al-Usul bahawa Allah mensyariatkan setiap hukum itu berhikmah dan terdapat kebaikan-kebaikan yang mana manfaatnya kembali kepada hambaNya. Semua itu ialah kasih sayang Allah terhadap mereka dan mempermudahkan lagi ke atas mereka. Ini jelas seperti mana di dalam firman Allah:
"Tidak kami utuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali menjadi rahmat sekalian alam"
(Surah Al-Anbiya' - ayat 107)

Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu “
( Surah Al-Baqarah – ayat 184)

Tetapi sebahagian kelompok manusia sesungguhnya sengaja menyempitkan rahmat Allah yang luas dan mereka ini cenderung kepada fahaman yang menyusahkan umat ini. Maka mereka mengharamkan apa yang dihalalkan Allah dalam keadaan mereka melakukan pembohongan terhadap Allah. Mereka juga menyebarkan melalui saluran-saluran dakwah dan berita-berita tentang pengharaman kebanyakkan amalan di dalam agama yang mana telah dijelaskan oleh dalil-dalil di atas halal dan sunat diamalkan amalan-amalan itu.
Sebahagian daripada dakwaan mereka ialah bahawa bacaan Al-Quran dan hadiah sekelian ibadat kepada orang lain samada mati ataupun hidup adalah bid’ah yang diharamkan. Inilah dakwaan yang tersasar dari kebenaran dan membawa kepada pembohongan ke atas Allah dan RasulNya. Inilah himpunan daripada sebahagian dalil-dalil syarak yang telah ditetapkan bagi mengharuskan bacaan Al-Quran Al-Karim,zikir,ibadat dan menghadiahkan pahala yang sama hukumnya kepada orang-orang yang hidup dan mati.

( Dalil yang pertama )
Bahawa Al-Iman Al-Bukhari رضى الله عنه telah membuat satu tajuk bagi bab – dari Kitab Al-Janaiz di dalam Kitab Sohehnya “ Bab Bacaan Fatihatul Kitab (Surah Al-Fatihah) ke atas Jenazah”. Diriwayatkan di dalam bab itu dengan sanadnya daripada Tholhah Bin Abdillah bin ‘Auf رضى الله عنه katanya: “Saya telah solat di belakang Ibni ‘Abbas رضى الله عنه ke atas seorang jenazah, maka beliau membaca Fatihatul Kitab (yakni Surah Al-Fatihah), katanya supaya semua orang mengetahui bahawa ianya adalah sunat”.

(Dalil yang kedua)
Di dalam hadis tadi dapat difahami tentang pensyariatan solat jenazah di atas kubur seperti mana disyariatkan solat secara muthlak berhampiran dengan kubur selama mana kubur itu tidak dibongkar. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari رضى الله عنه di dalam kitab dan bab yang sama di dalam Kitab Sohehnya – Daripada Abi Hurairah رضى الله عنه: Sesungguhnya seorang yang berkulit hitam – samada lelaki atau perempuan: adalah kerjanya membersihkan masjid. Maka beliau mati dan Nabi صلى الله عليه وسلم tidak mengetahui tentang kematiannya: maka Baginda صلى الله عليه وسلم mengingatinya pada suatu hari lalu bertanya: Apa yang berlaku kepada insan itu? Maka para sahabat menjawab: Beliau telah mati wahai Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: Maka kenapa tidak kamu semua tidak memberitahu kepadaku? Maka sahabat menjawab: Sesungguhnya beliau adalah demikian ceritanya. Berkata perawi: Maka mereka telah memperkecilkan dirinya. Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم : Maka hendaklah kamu tunjukkan kepadaku kuburnya. Maka Baginda صلى الله عليه وسلم datang ke kuburnya lalu solat ke atas mayatnya. Jelas di sini bahawa solat Nabi صلى الله عليه وسلم mengandungi bacaan Al-Quran dan doa supaya mayat itu dirahmati.

(Dalil yang ketiga)
Hadis yang dikeluarkan oleh Al-Imam Ahmad At-Thobrani رضى الله عنه dan selainnya, daripada Ma’qal Bin Yassar رضى الله عنه bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: “ Al-Baqarah ialah puncak Al-Quran dan ketinggiannya. Ianya telah turun bersama setiap ayat yang mana daripadanya terdapat 80 malaikat, dan dikeluarkan “ “ dari bawah ‘arash ,maka sampailah padanya dan Yasin ialah jantung Al-Quran. Tiada seorang lelaki pun yang membacanya dalam keadaan dia menghendaki Allah Tabaraka Wata’ala dan hari akhirat kecuali diampunkan baginya. Hendaklah kamu semua membacanya ke atas orang yang mati di kalangan kamu”. Telah menolak Al-Amir As-Son’ani رضى الله عنه di dalam “Subulu As-Salam” (jilid 2 / m.s 244) ke atas orang yang kata: “sesungguhnya yang dimaksudkan dengan mayat itu di sini ialah orang yang hampir mati” dengan katanya “ Perkataan itu memberi makna menyeluruh kepada orang yang mati bahkan makna itulah (yakni orang yang mati) yang sebenarnya di dalam hadis itu.



(Dalil yang keempat)
Dalil ini terdapat di dalam Kitab “Ar-ruh” karangan Ibni Qayyum As-Salafi رضى الله عنه – diriwayatkan daripada Al-Kholal رضى الله عنه daripada Al-Hassan Al-Warraq رضى الله عنه katanya: Telah menceritakan kepadaku ‘Ali Bin Musa Al-Haddad رضى الله عنه dan beliau adalah seorang yang sodduqan – katanya: “ Pernah saya bersama Ahmad Bin Hanbal dan Muhammad Bin Quddaamah Al-Jauhari رضى الله عنهما pada seorang jenazah, maka tatkala ditanam si mayat itu, telah duduk seorang lelaki yang bersedih membaca Al-Quran di kubur itu. Maka berkata Ahmad رضى الله عنه kepadanya: wahai saudara, sesungguhnya membaca Al-Quran di kubur adalah bid’ah, maka tatkala kami keluar daripada tanah perkuburan, telah bertanya Muhammad Bin Quddaamah رضى الله عنه kepada Ahmad Bin Hanbal رضى الله عنه: Wahai Bapa kepada Abdillah رضى الله عنه, apa pendapat engkau tentang Mubasyir Al-Halabi رضى الله عنه ? Jawab Ahmad رضى الله عنه: Beliau Thiqoh, Ahmad رضى الله عنه bertanya: Engkau mencatat sesuatu hadis daripadanya? Jawab Muhammad رضى الله عنه: Ya. Katanya lagi : Maka telah mengkhabarkan kepada saya oleh Mubasyir رضى الله عنه daripada Abdul Rahman Bin Al-‘Ala’ Bin Al-Lajlaj daripada bapanya رضى الله عنهما bahawa beliau telah berwasiat jika dikebumikannya bahawa dibaca dikepalanya permulaan Surah Al-Baqarah dan penghujungnya, dan dia berkata: Saya telah mendengar Ibnu Umar رضى الله عنه mewasiatkan dengan demikian. Maka berkata Ahmad رضى الله عنه: Kembalilah engkau dan katakan kepada lelaki tadi ,sentiasalah dia membaca. Inilah dia golongan salafiah yang berbeza dengan orang yang mendakwa mereka ialah salafiah.




(Dalil kelima)
Dalil ini diambil As-Salaf As-Soleh رضى الله عنهم kerana saya mengikut pendapat golongan salafiah yang benar, telah diambil daripada Ibni Qayyum رضى الله عنه juga di dalam kitab Ar-Ruh daripada Al-’Alamah Al-Khalal As-Salafi daripada Imam As-Sya’bi رضى الله عنه – beliau adalah salah seorang daripada tabi’ein- bahawa beliau pernah berkata: Adalah kebiasaan orang Ansor رضى الله عنهم apabila mati seseorang dari kalangan mereka, nescaya mereka pergi ke kuburnya dan mereka Al-Quran di sininya.

(Dalil keenam)
Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad رضى الله عنه, Al-Bukhari dan Muslim رضى الله عنه daripada Al-Imam Ibnu ‘Abbas رضى الله عنه bahawa beliau pernah berkata: Nabi صلى الله عليه وسلم telah lalu berhampiran dengan 2 kubur lalu bersabda: “ Sesungguhnya keduanya sedang diazab dan bukanlah mereka diazab dengan sebab dosa besar. Adapun seorang daripada keduanya , maka dia mengadu-domba, dan yang seorang lagi tidak menyempurnakan kencingnya”. Kata Ibnu ‘Abbas رضى الله عنه: Kemudian Baginda صلى الله عليه وسلم mengambil pelepah kurma dan mematahkannya kepada dua bahagian, kemudian menanamkan keduanya di atas kubur-kubur itu. Kemudian Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda : “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-duanya selama mana pelepah ini tidak kering”.
Berkata Al-Imam Al-Khattabi رضى الله عنه: Pada hadis ini terdapat dalil yang mengharuskan (sunat) membaca Al-Quran di atas kubur kerana jika Nabi صلى الله عليه وسلم mengharapkan diringankan azab mayat itu dengan sebab tasbih pokok tadi, maka membaca Al-Quran terlebih besarlah pengharapan dan keberkatan.

(Dalil ketujuh)
Telah mengeluarkan Ibnu Abi Syaibah رضى الله عنه dari thoriq Abi As-Sya’sa’ Jabir Bin Zaid رضى الله عنه –beliau adalah seorang yang thiqoh daripada kalangan tabi’en : Bahawa beliau membaca Surah As-Ra’di (الرعد) di sini mayat. Telah berkata Al-Hafizd Ibnu Hajar رضى الله عنه: Sanadnya ialah soheh, dan di dalam Subulu As-Salam bagi As-Son’ani: Telah dikeluarkan oleh Abu As-Syeikh رضى الله عنه di dalam Fadhoil Al-Quran (Kelebihan Al-Quran), dan Abu Bakar Al-Marwazi رضى الله عنه di dalam Kitab Al-Janaiz (Jenazah-jenazah) daripada Abi As-Sya’sa رضى الله عنه –sahabat Ibni ‘Abbas-
رضى الله عنه bahawa beliau menghukum sunat bacaan surah Ar-Ra’di (الرعد ) , dan dia menambahkan lagi bahawa ianya dapat meringankan azab si mati. Di dalamnya juga terdapat riwayat daripada As-Sya’bi: Adalah kebiasaan orang Ansor menghukum sunat bacaan Surah Al-Baqarah di sini mayat.
Inilah sebahagian hujah dan dalil yang tetap dan dikuatkan pensyariatan membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahala kepada mayat-mayat.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Terjemahan oleh : Ibnu Harun al-mau al-aswadi
( 5 Ramadhan 1431 – bersamaan 25 Ogos 2009)
Jam: 1.10 pagi

anda pelawat yang ke-

Pengikut