Ahad, 28 Mac 2010

ZAHIRNYA DIRIMU

KELAHIRAN JUNJUNGAN MULIA SAIDINA MUHAMMADصلى الله عليه وسلم
Hari kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم kita adalah suatu nikmat yang amat besar kepada kita. Setiap kenikmatan tidak sempurna tanpa ada kesyukuran. Nikmat Allah yang tidak terhitung itu perlu kepada kesyukuran agar manusia tidak terjerumus di dalam kekufuran nikmatNya. Kesyukuran dapat dizahirkan dengan menyebut, mengingat nikmat itu dan menggunakannya pada tempat yang betul. Hari kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلمatau lebih dikenali dengan Maulid ar-Rasulصلى الله عليه وسلم juga menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk mengingati dan menyebutnya. Amalan ini juga membuktikan bahawa kita amat berterima kasih kepada Allah dan Bagindaصلى الله عليه وسلم . Benarlah sabda Bagindaصلى الله عليه وسلم

”Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, nescaya dia tidak berterima kasih kepada Allah”.

Menyambut kelahiran Bagindaصلى الله عليه وسلم juga dianjurkan secara umum di dalam al-Quran pada ayat terakhir Surah Ad-Dhuha dengan firman Allah :

”Dan terhadap nikmat Tuhanmu, Maka hendaklah kamu siarkan. ”

Tidakkah kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلمyang diakui oleh Allah sebagai rahmat sekalian alam adalah sebagai suatu nikmat yang agung? Benarlah kata guru saya Baba Muhammad Al-Firasi: Rahmat bererti nikmat daripada Allah yang dibesarkanNya. Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri telah membuktikan kesyukurannya terhadap nikmat kelahirannya apabila Baginda صلى الله عليه وسلم seringkali berpuasa pada hari Isnin. Sahabat pernah bertanya tentang sebab amalan itu dilaksanakan oleh Bagindaصلى الله عليه وسلم . Lalu Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab :

” Itulah hari saya dilahirkan”.

Jika Baginda صلى الله عليه وسلم menyambut hari kelahirannya dengan melaksanakan sesuatu amalan yang berbentuk ibadat iaitu berpuasa, kenapa kita tidak boleh mengikuti sunnah Baginda صلى الله عليه وسلم dengan amalan berbentuk ibadat lain seperti kenduri, majlis ilmu, ceramah, berzikir dan lain-lain?
Seseorang pasti gembira dengan kelahiran anak, cucu atau saudaranya. Kegembiraan itu sebenarnya tidak dapat menandingi kegembiraan orang yang sempurna imannya terhadap kelahiran Junjungan Mulia صلى الله عليه وسلم . Baginda صلى الله عليه وسلم pernah bersabda:

”Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihiku lebih daripada dia mengasihi dirinya sendiri, ibu-bapanya dan sekalian manusia”.

Baginda juga pernah bersabda:

”Didikkanlah anak-anak kamu dengan 3 perkara, kasih kepadaku, kasih kepada keluargaku dan membaca al-Quran ”.

Orang yang mengasihi sesuatu pastinya bergembira apabila muncul apa yang dikasihinya. Allah telah mengarahkan kita agar bergembira dengan kewujudan Bagindaصلى الله عليه وسلم di dalam firmanNya Surah Yunus, ayat 58 :

Katakanlah: "Dengan kurnia Allah (yakni al-Quran) dan rahmat-Nya (yakni Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم), hendaklah dengan itu mereka bergembira. kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan".

Apabila kita mengetahui bahawa sambutan hari kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم adalah dianjurkan di dalam Islam, maka marilah sama-sama kita meneliti sedikit demi sedikit hikmah Allah memilih hari kelahiran kekasihNya صلى الله عليه وسلم ini. Peristiwa bersejarah ini berlaku selepas subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal Tahun Gajah bertempat di Sya’bi Bani Hasyim.

Malam kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم kita menjadi idaman para orang yang bertaqwa kerana malam itu terlebih mulia daripada malam Lailatul Qadar, malam nuzul al-Quran, malam Jumaat dan malam-malam yang lain. Di sini saya ingin memetik beberapa hujah As-Syeikh Al-Khatib Al-Hajj Ar-Rihal Muhammad Bin Ahmad Bin Marjuq tentang kelebihan malam kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم ke atas malam Laillatul Qadar. Antaranya ialah setiap kemuliaan sesuatu malam bergantung kepada sebab ianya dimuliakan. Maka kemuliaan malam kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم disebabkan kelahiran sebaik-baik makhluk iaitu Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri. Malam itu juga adalah malam kemunculan Baginda , manakala malam Lailatul Qadar adalah hadiah Allah untuk Baginda. Pastinya orang yang dihadiah itu lebih mulia daripada hadiah itu sendiri. Malam Lailatul Qadar menjadi mulia kerana turun padanya para malaikat tetapi malam kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلمmenjadi mulia kerana munculnya diri Baginda صلى الله عليه وسلم. Maka pastinya diri Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم lebih mulia daripada para malaikat. Malam Lailatul Qadar bermanfaat kepada golongan yang beramal pada waktu dan ketika itu sahaja tetapi malam kelahiran Baginda bermanfaat kepada semua makhluk pada setiap masa dan ketika.

Hari yang dipilih oleh Allah untuk menzahirkan kekasihNya صلى الله عليه وسلم di muka bumi ini ialah hari Isnin. Hari ini melambangkan kesuburan, keindahan, ketenangan, kebaikan dan keberkatan. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم di dalam Musnad Imam Ahmad :

” Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mencipta segala pokok pada hari Isnin”.

Segala makanan, rezeki, buah-buahan, kebaikan diciptakan pada hari itu kerana manusia berhajat kepadanya untuk hidup ,mengubati penyakit, melapangkan hati ketika melihatnya dan ketenangan jiwa. Begitu jugalah kewujudan Baginda صلى الله عليه وسلم pada hari itu sebenarnya menjadi penyejuk mata hati setiap makhluk Allah dan kebaikannya mengatasi segalanya.

Setelah kita mengetahui beberapa perkara di atas, mari pula kita hayati hikmat Allah Ta’ala memilih bulan Rabi’ul Awal sebagai bulan kelahiran Baginda sedangkan bulan itu tidak menjadi sebut-sebutan bagi orang arab ketika itu. Rabi’ bermakna musim bunga yang mana pada musim itu tumbuhlah benih-benih dengan suburnya. Ketika itu, udara tidak terlalu kering dan tidak terlalu lembap, cuaca pula tidak terlalu panas dan tidak terlalu basah, matahari pula tidak terlalu jauh dengan bumi dan tidak terlalu dekat dan malam serta siangnya tidak terlalu lama dan tidak terlalu singkat. Pada musim itu biasanya manusia dijauhi dengan segala penyakit, kekuatan badan mereka ditahap yang baik dan lapang hati mereka melihat tumbuh-tumbuhan mekar berkembang. Musim ini suatu musim yang pertengahan dari segala aspek dan setiap yang berada di pertengahan itu adalah sesuatu perkara yang paling baik. Bertepatanlah dengan sabda Baginda :

” Sebaik-baik perkara adalah yang dipertengahannya ”

Begitu jugalah keadaan agama Islam yang dibawa Insan yang dilahirkan pada tanggal 12 di musim bunga iaitu Nabi Muhammad yang menonjolkan kesederhanaan dan kemuliaan agamanya. Setengah ulama mengatakan bahawa, jikalau Baginda dilahirkan pada hari Jumaat dan pada bulan-bulan yang mashyur seperti Ramadhan, Syawal atau selainnya, pastinya ada orang yang tersalah anggap bahawa kelahiran Nabi menjadi mulia dengan sebab hari dan bulan-bulan tersebut. Sebenarnya kemulian Baginda lansung tidak bergantung kepada kelebihan yang lain sebaliknya kelebihan Baginda dipinta dari yang lain.






Ahad, 21 Mac 2010

Tanda Kenabian Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

عن الجعد بن عبد الرحمن قال : سمعت السائب يقول :

" ذَهَبْتُ بِيْ خَالَتِيْ إِلىَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ : يَا رَسُوْلَ اللهِ ,

إِنَّ ابْنَ أُخْتِيْ وَجِعٌ فَمَسَحَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأْسِيْ , وَدَعَا لِيْ بِالْبَرَكَةِ

وَتَوَضَّأَ فَشَرَبْتُ مِنْ وَضُوْئِهِ , وَقُمْتُ خَلْفَ ظَهْرِهِ , فَنَظَرْتُ إِلىَ الْخَاتَم ِ

بَيْنَ كَتِفَيْه ِ, فَإِذاَ هُوَ مِثْلُ ِزرَّ الْحِجْلَةِ "

TERJEMAHAN

Telah berkata Saib Ibn Yazid : “ Telah pergi ibu saudaraku bersamaku kepada Nabi
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ maka dia berkata : Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya saudaraku sakit. Maka
Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ menyapu kepalaku dan mendoakan bagiku akan keberkatan. Dan Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ mengambil wudhuk. Maka aku telah minum sebahagian daripada sisa-sisa wudhuknya dan aku berdiri di belakang tubuhnya صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ maka aku telah melihat akan tanda kenabian di antara dua bahu belakangnya صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ . Maka tiba-tiba ianya seperti telur burung merpati.

anda pelawat yang ke-

Pengikut