Khamis, 28 Julai 2011

SIAPAKAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH ???

Persoalan ini selalu dipersoalkan pada setiap masa, tempat & keadaan. Sebenarnya persoalan ini telah lama wujud semenjak kewafatan kewafatan Baginda صلى الله عليه وسلم. Tidak hairanlah seandainya banyak golongan yang mengaku bahawa merekalah golongan yang digelar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebahagian daripada mereka sanggup mengkafirkan golongan selain daripada mereka, sebahagian lagi menuduh golongan lain melakukan bid’ah dan khurafat, dan sebahagian yang lain pula mengambil sikap bersederhana di dalam keadaan ini.

Mengapakah keadaan ini berlaku? Jawapannya ada pada hadis Nabiصلى الله عليه وسلم yang menyatakan bahawa akan terdapat perpecahan di dalam umatnya pada suatu masa nanti. Hadis Bagindaصلى الله عليه وسلم diriwayatkan di dalam Sunan At-Tirmizi, Ibni Majah, Musnad Imam Ahmad dan lainnya. Hadis itu adalah seperti berikut:

Saidina Anas telah meriwayatkan satu hadis daripada Nabiصلى الله عليه وسلم bahawa Bagindaصلى الله عليه وسلم pernah bersabda : “Akan terpecah umatku kepada 73 golongan, kesemuanya berada di dalam neraka kecuali satu golongan sahaja yang mana Aku dan sahabatku berada di atas jalan itu.”

Diriwayatkan daripada Abi Umamah daripada Nabiصلى الله عليه وسلم sabdanya : “ Telah berpecah Bani Israil di atas 71 golongan, dan telah berpecah Nasrani di atas 72 golongan, dan umatku akan lebih satu golongan daripada mereka , semuanya berada di dalam neraka kecuali As-Sawadu Al-A’zhom.

Terdapat satu riwayat di dalam Musnad Firdaus yang mendatangkan masalah kepada kita iaitu bahawa seluruh golongan itu berada di dalam syurga kecuali satu golongan. Mereka adalah golongan Zindiq. Hadis ini bertentangan makna zahirnya dengan 2 hadis di atas.

Di dalam memahami hadis-hadis di atas, setiap ulamak mempunyai pendirian masing-masing. Antaranya adalah:

1) Ulamak yang menolak terus hadis tersebut kerana sanadnya lemah dan hadis ini dihukumkan sebagai hadis dhoif. Antara mereka adalah Al-Imam Ibnu Hazmi Az-Zhohiri yang meninggal tahun 450 hijrah. Beliau adalah asalnya hadis yang kemudiannya berkecimpung dalam bidang Fekah.

2) Ulamak yang menerima hadis ini tetapi menolak lafaz “ Semua golongan masuk ke dalam neraka kecuali satu golongan” kerana dikatakan bahawa lafaz ini bukan sebenarnya daripada Rasulullah tetapi tambahan daripada musuh-musuh Islam. Antara mereka adalah Ibnu Al-Wazir.

3) Ulamak yang menerima hadis tersebut kerana dipercayai riwayat-riwayatnya tetapi menolak bilangan yang ditentukan hadis kerana bagi mereka bilangan itu bukanlah yang dikehendaki & difahami di dalam hadis itu. Kaedah yang dipegang oleh pendapat ini sering digunakan untuk memahami hadis-hadis yang selainnya. Pendapat inilah yang dipegang oleh guru penulis As-Syeikh Dr. Muhammad Bin Ibrahim Al-Khauli ulamak Al-Azhar di dalam bidang Usuluddin dan Dakwah. Penulis juga berpegang dengan pendapat gurunya ini.

4) Ulamak yang menerima hadis-hadis tersebut serta membahaskan perkataan “ الأمة “ yakni “Umat”. Mereka membahagikan umat Nabiصلى الله عليه وسلم kepada 2 golongan. Pertamanya adalah Umat Dakwah iaitu golongan yang sampai dakwah Bagindaصلى الله عليه وسلم . Golongan yang kedua adalah Umat Ijabah iaitu golongan yang sampai dakwah Bagindaصلى الله عليه وسلم kepada mereka dan mereka menerimanya. Jadi , golongan yang terselamat daripada neraka adalah Umat Ijabah.

Permasalahan sekarang golongan manakah yang dinamakan Ahli Sunnah Wal Jama’ah? Al-Imam Abdul Qhohir Bin Thohir Al-Baghdadi yang meninggal pada tahun 429 hijrah telah menyenaraikan 8 golongan yang boleh dinamakan Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Mereka adalah :

1) Golongan yang sangat mendalam ilmu mereka di dalam bab-bab Tauhid, kenabian, hukum-hukum bagi janji baik (الوعد) dan janji azab (الوعيد) , dosa , pahala, syarat-syarat ijtihad, imamah, kepimpinan, dan mereka berjalan di atas jalan dan manhaj Ulamak Ilmu kalam yang tersuci daripada At-Tashbih , At-Takthil , daripada bid’ah golongan Ar-Rofizoh, Al-Khawarij, Al-Jahmiah , An-Najjariah dan sekalian golongan mengikut hawa nafsu yang sesat.

2) Imam-imam Fekah daripada golongan Ahli Rakyi , Ahli Hadis yang mana mereka ini beriktikad dengan mazhab-mazhab As-Sofatiah di dalam Usuluddin.

3) Ahli Hadis yang mana mereka ini sangat mendalam ilmu mereka di dalam jalan Akhbar dan sunan yang datang daripada Nabi .

4) Golongan yang sangat mendalam dalam ilmu yang berkait dengan kebanyakan bab-bab Adab, Nahu , Sorof, dan berpegang dengan imam-imam Ahli Bahasa, dan tidak mencampurkan amalan mereka dengan bid’ah-bid’ah Al-Qodariah, atau Ar-Rofizhoh, atau Al-Khawarij .

5) Golongan yang mempunyai ilmu yang luas di dalam bidang wajah-wajah bacaan Al-Quran, tafsir , takwil, dan bukan daripada takwilan yang mengikut hawa nafsu dan sesat.

6) Sebahagian mereka adalah golongan yang Zuhud dan Sufi .

7) Golongan yang mempertahankan Islam menentang musuh-musuh Islam dan menjaga umat Islam dan mempertahankan mereka di samping mengikut akidah Ahli Sunnah.

8) Semua negara yang berpegang dengan syiar Ahli Sunnah selain daripada negara yang berpegang dengan pendapat yang mengikut hawa nafsu yang terpesong.


Al-Qodhi Abu bakar Bin Al-Arabi menyenaraikan 4 golongan Ahli Sunnah iaitu:

(1) Ahli Hadis penjaga agama.

(2) Ulamak Usuluddin yang berusaha menentang kumpulan yang sesat, pembawa bid’ah dan yang mengikut hawa nafsu yang sesat.

(3) Ulamak Fekah yang menentukan kaedah-kaedah ibadah.

(4) Ahli Sufi yang mengosongkan diri untuk beribadat dengan Allah.


Ibnu Taimiah juga menyatakan 3 golongan Ahli Sunnah iaitu:

(1) Ahli Hadis dan mereka yang bertepatan dengan manhaj mereka.

(2) Imam-imam Fekah.

(3) Imam-imam Ilmu Kalam daripada ulamak yang benar (yakni Ulamak Salaf dengan makna Salaf dahulu & bukan istilah Salaf sekarang . Imam Ilmu Kalam juga termasuk Imam Al-Asy’ari dan Al-Maturidi)

Dengan pendapat-pendapat ulamak di atas jelaslah bahawa Ahli Sufi juga adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah . Manakala Syi’ah dan golongan yang mentashbihkan Allah seperti Wahabi atau terkenal dengan nama Salaf pada masa sekarang ( bukan istilah Salaf masa dahulu) tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dan mereka jugalah yang dikenali dengan golongan yang mengikut hawa nafsu serta terpesong daripada kebenaran hakiki.


( Ibnu Harun – pada 29 Julai 2011, jam 11.20 mlm)








anda pelawat yang ke-

Pengikut