Ahad, 7 Februari 2010

Berilmukah aku??

Saudaraku....Ilmu adalah cahaya, ilmu adalah hidayah, ilmu adalah pedoman, ilmu adalah penunjuk arah, ilmu adalah ubat bagi segala penyakit, ilmu adalah satu kelazatan, ilmu adalah nikmat dan ilmu adalah rezeki. Sesiapa yang merasa kelazatan ilmu, pasti mengetahuinya tanpa dapat mampu digambarkan dengan mulut dan sesiapa yang sudah mengetahuinya, pasti dia akan mengambilnya hingga tiada merasai kepuasan. Kenapa tidak? Sedangkan ilmu itu seperti lautan yang tiada bertepian.
Saudaraku....ilmu didapati dengan mengikut majlisnya. Majlisnya pula diiktirafi kecuali dengan wujudnya 4 perkara. Seandainya luput 1 daripada 4 perkara, maka lupuslah nama Majlis Ilmu. 4 perkara itu adalah guru, penuntut, buku dan tempat.
Saudaraku....Sesiapa yang tidak berguru, maka syaitanlah gurunya. Guru adalah seorang yang menjadi lilin yang sanggup membakar diri untuk menerangi sesuatu tempat. Tempat itu bersinar dengan cahaya dan orang yang berada di situ merasa selesa dengan kedatangannya. Namun, cahayanya ada tempoh dan masa. Cahayanya perlu diambil manfaat sehabis-habisnya. Cahayanya perlu di jaga agar tidak terpadam. Seandainya terpadam dengan sikap kekurang adab penuntutnya, maka ianya dapat dinyalakan semula dengan penyesalan. Tetapi, seandainya terpadam dengan sebab cairnya batang itu, maka penyesalan ketika itu tiada berguna.
Saudaraku....Perkara yang kedua adalah penuntut. Bagaimana ciri penuntut? Mereka ibarat helang yang menyambar. Mata mereka tajam dan pergerakkan mereka sangat tangkas. Mereka terlalu pantas di dalam berjalan, makan dan menulis. Mereka seperti Keldai yang sanggup berkhidmat untuk tuannya. Tuan mereka adalah guru. Mereka berjalan menundukkan kepada mengikut arahan. Mereka sanggup bersabar seperti lebah di dalam membina sarangnya yang sangat bermanfaat.
Saudaraku....Buku menjadi perkara yang ketiga. Buku untuk dibaca dan diingati. Buku untuk dihayati dan disanjungi. Membaca adalah kunci ilmu. Membaca adalah sunnah Nabi S.A.W walaupun baginda tidak membaca dengan melihat buku. Buku bukan untuk dijemu. Ulamak menjadikannya sebagai tabiat menimba ilmu. Selepas dibaca buku itu diserapkan di dalam kalbu untuk menjadi penentu. Penentu kebaikan dan keburukan yang akan dilaku. Ulama membacanya tanpa rasa jemu hinggakan sebuah kitab diulang beribu-ribu. Sebahagiannya mengulang-ulang bacaan sebelum bertemu dengan guru agar ilmu itu menjadi bertambah padu. Buku juga suatu syiar agama. Barang sesiapa yang mengagungkan syiarnya, maka itulah bukti ketaqwaan hatinya. Wahyu pertama membuktikan betapa pentingnya membaca. Malas membaca bukti kelemahan di dalam jiwa. Membaca pengubat luka, pemulih suasana, penyeri segalanya kerana ianya sumber cahaya. Buku yang terbaik adalah Al-Quran ,Hadis dan buku-buku agama.
Saudaraku....Yang keempat ialah tempat. Semua makhluk bertempat. Maka carilah sebanyak mungkin tempat untuk dijadikan ibadat. Sesungguhnya setiap tempat menjadi saksi di akhirat. Tempat memberi manfaat dan mudharat di akhirat. Hanya Allah tiada bertempat. Allah yang menciptakan tempat, bagaimana Allah pula berhajat kepada tempat. Tempat membaca dan menuntut ilmu menjadi taman daripada taman-taman syurga. Oleh itu, kita perlu beringat dan bersedia kerana hidup kita tidaklah lama. Harumkan tempat dengan ibadat selama-lama. Jangan cuba keluar darinya kerana ajakan syaitan durjana. Biar letih dan penat semua itu akan dikira dan diberi ganjaran pahala. Putuskan hubungan dengan mereka (syaitan) selama-lama dengan bersama insan-insan yang mulia. Itulah manfaat yang membawa kita bahagia.

anda pelawat yang ke-

Pengikut