Ahad, 28 November 2010

Matlamat Hidup ?? (ep 1)





بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah yang menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi serta mengarahkan mereka agar sentiasa beribadah kepadaNya, solawat dan salam ke atas junjungan mulia Penghulu sekalian nabi iaitu Saidina Muhammad S.A.W dan ke atas keluarga yang suci serta sahabat yang terpilih
. أمابعد.

Ketahuilah wahai saudaraku bahawa setiap perkara perlu ada matlamat dan hala tuju. Begitu juga hidup kita yang sementara ini perlu ada matlamat yang jelas. Seandainya kita tiada matlamat hidup yang tepat dan jelas, pasti kita tak ubah seperti lalang yang ditiup angin. Seandainya ditiup ke kanan, maka ia ke kanan dan seandainya ditiup ke kiri, maka ia turut ke kiri. Hidup kita ketika itu tidak memberi apa-apa makna untuk diri kita dan orang lain.
Ketahuilah sesungguhnya agama yang kita cintai iaitu Islam telah memberi garis panduan kepada kita bagi mencari matlamat hidup. Bahkan Islam itu sendiri telah menetapkan kepada kita apakah matlamat hidup sebagai seorang Islam. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala di dalam firmannya :

“ Tidaklah kami jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka sentiasa beribadat”

Jelas di dalam ayat di atas bahawa kita diciptakan untuk beribadat dan merendahkan diri kepada Allah. Matlamat kita hidup di dunia yang sementara ini ialah semata-mata beribadat kepada Allah.

Ketahuilah bahawa ibadat yang dituntut oleh Allah terbahagi kepada 2 iaitu ibadat khusus dan ibadat umum. Ibadat khusus adalah ibadat yang dituntut ke atas kita pada masa yang tertentu dan peraturan-peraturan yang tertentu seperti solat 5 waktu sehari semalam, puasa di bulan Ramadhan, zakat apabila cukup tempoh dan sukatan, menunaikan haji seandainya mampu dan lain-lain. Manakala ibadat umum pula meliputi semua gerak-geri kita di dalam kehidupan seharian seperti bekerja , makan dan minum, tidur, bergaul sesama insan dan lain-lain dengan syarat niat kita kerana Allah dan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W ketika melakukan perbuatan itu. Pekerjaan kita , tidur kita , makan dan minum kita, perjalanan kita, percakapan kita, penglihatan kita dan apa saja yang kita lakukan setiap hari jika dengan niat yang betul akan diberi ganjaran oleh Allah kerana amalan itu semuanya dinamakan ibadat . Fahamilah !!!

Ketahuilah wahai saudaraku, dunia hari ini penuh dengan fitnah ( yakni kerosakkan). Ianya ada di mana-mana. Kerosakkan-kerosakkan itu telah menular kepada kita samada tanpa kita sedari atau kita sedari. Itulah yang dinamakan fitnah kehidupan akhir zaman. Fitnah pada hari ini terlalu banyak dan tidak mampu kita hitung. Setiap yang membawa kita menjadi lalai terhadap matlamat kita yang utama iaitu beribadat kepada Allah samada secara sedar atau tidak sedar , maka itulah dinamakan fitnah akhir zaman. Ianya tidak ubah seperti virus yang berbahaya di mana kita perlu memiliki antibodi yang kuat untuk mengatasinya atau paling tidak kita perlu lari sejauh-jauhnya dari virus yang berbahaya itu. Hanya 2 jalan ini sajalah yang dapat menyelamatkan kita.
Wahai saudaraku, seandainya kita terpaksa mengharungi fitnah ini, maka perlulah kita mempersiapkan diri dengan tembok yang kukuh untuk menghalangnya daripada memudharatkan iman kita dan iman keluarga kita. Tembok yang paling kukuh bagi orang Islam ialah solat 5 waktu kerana ianya dapat menegah seseorang daripada kejahatan dan kemungkaran. . Berapa ramai orang Islam pada hari ini diserang dan tertewas dengan fitnah yang menyebabkan mereka hanyut di dalam kemaksiatan. Mereka telah terpesong daripada matlamat hidup mereka yang sebenar iaitu beribadat kepada Allah Yang Mencipta diri mereka. Hati mereka tidak pernah mengingati Allah walaupun sesaat. Mereka melupai Allah dan Allah juga akan melupai mereka di hari pembalasan yang paling dahsyat dan hari penyesalan bagi golongan yang tidak beribadat kepada Allah. Punca utama berlaku penderhakaan ini ialah kelalaian di dalam melaksanakan solat 5 waktu. Jikalau mereka melaksanakannya pun, perlaksanaan mereka mengikut hawa nafsu mereka dan bukan menurut peraturan-peraturan dari Allah.
Ketahuilah wahai saudaraku bahawa terdapat satu riwayat yang menceritakan tentang bagaimana seorang wanita terjerumus di dalam fitnah yang sangat besar disebabkan beliau meninggalkan solat Asar sahaja. Para sahabat telah mendatangi Nabi S.A.W dan menceritakan kepada baginda bahawa ada seorang wanita yang telah berzina di suatu tempat. Kemudian wanita itu telah mengandung anak luar nikah dan melahirkannya secara rahsia. Anak itu dibunuh dan direndamkannya ke dalam tempat penghasilan arak. Lalu arak itu dijual pula kepada orang ramai. Apabila Baginda Rasulullah mendengar berita itu, Baginda terus menyatakan bahawa wanita itu tadi telah meninggalkan solat Asar. MasyaAllah. Cuba kita perhatikan kesan buruk yang sangat besar apabila seseorang itu meninggalkan satu waktu solat sahaja. Bagaimanakah kesan buruk bagi golongan-golongan yang lansung tidak mendirikan solat atau pun melakukan sebahagian waktu sahaja dan meninggalkan waktu yang lain. Pastinya hati mereka menjadi gelap tanpa hidayah dan hidupnya yang bergelumang dengan nafsu keinginan duniawi yang membawa mereka alpa daripada matlamat kehidupannya iaitu beribadat kepada Allah.
Ketahuilah wahai saudaraku bahawa solat telah mengajar kita erti peraturan hidup menurut syariat Islam yang diredhai Allah. Solat mengajar kita agar mengurus masa dengan baik melalui waktu-waktu solat yang dihadkan oleh Allah. Sepertimana masa kerja kita yang dihadkan oleh majikan kita, begitu jugalah masa solat kita yang dihadkan oleh Allah. Seandainya kita takut dimarahi majikan kerana tidak menjaga masa kerja , maka apatah lagi Allah Yang Menciptakan kita. Apakah kita tidak perlu takut kepada Allah ??? Adakah kuasa majikan kita lebih besar dan hebat dari kuasa yang dimiliki oleh pencipta kita iaitu Allah. Fikirkan sejenak perkara ini nescaya Allah akan buka pintu kebaikan kepada kita semua.
Jangan kita berangan-angan panjang dan menangguhkan perintah Allah. Ramai orang yang jahil berkata : “ Nanti saya tua saya akan beribadat kepada Allah, sekarang saya masih muda dan mahu mencari keperluan hidup serta memenuhi cita-cita saya”. Mereka ini telah ditipu oleh syaitan yang durjana. Mereka menangguh-nangguhkan amalan mereka seolah-olah mereka tahu bahawa ajal mereka hanya akan tiba apabila mereka tua. Berapa ramai golongan bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa meninggal sebelum usia tua. Ajal tidak mengira usia, pangkat, darjat dan tempat. Seandainya mereka benar-benar jahil tentang tarikh dan masa ajal mereka, kenapa kita begitu yakin dengan masa depan mereka??? Padahal masa untuk beribadat semakin singkat , umur semakin meningkat, dosa kian bertingkat, bermacam-macam keinginan nafsu duniawi yang tak dapat disukat, Hari Kiamat pula semakin dekat . Berwaspadalah !!!
Sebelum kita melaksanakan solat, kita diwajibkan menyucikan diri dari hadas kecil dan besar. Penyucian ini bukan hanya pada zahir bahkan pada batin kita. Maksud penyucian batin ialah penyucian dari dosa besar dan kecil serta penyucian daripada sifat mazmumah seperti ego, besar diri, perasan, angkuh, tamak, cintakan harta, dengki, suka pujian, suka menunjuk-nunjuk, bangga dan lain-lain. Penyucian daripada dosa kecil terhasil dengan melakukan amalan wajib dan sunat. Manakala penyucian daripada dosa besar dan sifat mazmumah terhasil dengan bertaubat kepada Allah. Syarat-syarat bertaubat ada 4 iaitu berhenti daripada melakukan kesalahan itu, menyesal di atas semuanya, berazam tidak akan mengulanginya lagi , dan yang terakhir ialah memulangkan hak orang yang kita ambil . Ketahuilah bahawa pintu taubat sentiasa terbuka. Semua manusia melakukan kesalahan dan sebaik-baik pesalah ialah yang bertaubat. Walaupun seseorang itu membunuh 100 orang yang tidak bersalah, namun Allah Yang Maha Pemaaf masih memberi peluang kepada si pembunuh itu. Ketahuilah bahawa Allah menyayangi kita dan sentiasa memanggil kita untuk kembali ke jalanNya. Subhanallah !!!
Setelah kita menyucikan diri, kita perlu menutupkan segala keaiban kita. Maksud keaiban itu ialah aurat kita. Menutup aurat bermakna menutup warna kulit dan bentuk badan. Setiap inci aurat kita berada di atas tanggungjawab kita. Maka perlulah kita menutupnya di hadapan Allah Yang Maha Sempurna. Amalan ini bukan hanya kita lakukan di dalam solat sahaja bahkan setiap masa dan ketika kecuali kita bersama mahram. Sepertimana Allah Maha Melihat ketika kita solat, begitu jugalah Allah Maha Melihat ketika kita berada di luar keadaan solat. Oleh itu, jagalah aurat kita sepanjang masa dan usia. Janganlah kita tertipu dengan hasutan nafsu dan syaitan melalui fesyen dan gaya terkini yang sangat jauh terpesong daripada landasan agama kita. Semua fesyen yang mendedahkan aurat dan bentuk tubuh adalah agenda Yahudi yang dilaknat Allah. Mereka telah lama menjalankan agenda ini dari semasa ke semasa. Mereka tidak pernah membaiki orang Islam bahkan sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan kita. Mereka memesongkan kita dari cahaya kepada kegelapan , sedangkan agama Islam sentiasa mengeluarkan dari kegelapan kepada cahaya kebenaran. Mereka mengajar kita mengkhianati Allah dan RasulNya. Mereka menghasut kita agar menghampiri kepada penzinaan sedangkan Allah telah memberi amaran dan arahan agar kita tidak menghampiri zina. Antara perkara yang menghampirkan kita kepada zina ialah membuka aurat. Ya Allah, lindungilah hambamu ini dan keluarga ini daripada menghampiri zina.
Ramai wanita pada hari ini menutup aurat berdasarkan kehendak nafsu mereka. Bagi mereka, menutup aurat ialah menutup rambut semata-mata sedangkan mereka membiarkan tangan , leher, telinga, kaki dan anggota lain dilihat orang. Ada pula yang menutup semua anggota tetapi ternampak bentuk tubuh mereka dengan jelas. Ada juga yang memakai tudung tetapi rambutnya disanggulkan sehingga kelihatan seperti bonggol unta. Semua jenis pemakaian yang disebutkan tadi sebenarnya menyeleweng jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Islam tidak pernah menghalang penganutnya memakai pakaian berbagai jenis dan warna tetapi pastikan menutup warna kulit dan bentuk tubuh. Ingatlah , aurat lelaki dari pusat hingga ke lutut dan aurat perempuan seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Berjihadlah di dalam menutup aurat diri kita dan keluarga . Ketahuilah bahawa orang yang menjaga aurat adalah orang yang amanah terhadap Allah. Orang yang amanah terhadap Allah maka balasannya adalah bersama Rasulullah S.A.W di dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan. Ketika itu mereka bisa meminta apa saja yang mereka kehendaki. Nikmat daripada Allah ketika itu mencurah-curah kepada mereka. Apa saja yang terlintas difikiran mereka, terus Allah sediakan. Subhanallah !!! Begitu beruntungnya golongan ini. Ya Allah, jadikan hambamu ini dan keluarga ini daripada golongan yang bersama Rasulullah di syurga. Amin…
Selepas itu, kita mengadap kiblat dan melafazkan niat solat lalu bertakbir sambil berniat di dalam hati. Lafaz niat adalah sebelum takbir dan tempatnya di lidah , manakala niat pula adalah ketika takbir dan tempatnya di dalam hati. Fahamilah!! Pastikan qosad, ta’arudh dan ta’yin di dalam niat kita di antara huruf Alif dan Ro pada lafaz الله أكبر yakni ketika menyebut Alif dan sebelum selesai menyebut Ro. Seandainya kita solat berjamaah, maka ikutilah imam tanpa mendahului perbuatannya. Solat kita tidak sah seandainya perbuatan kita berbeza daripada perbuatan imam kita. Imam ialah pemimpin kita di dalam solat. Setiap masa kita mempunyai pemimpin dan ada ketika kita pula yang memimpin. Pemimpin negara adalah raja. Pemimpin keluarga kita ialah ayah. Pemimpin isteri ialah suami. Pemimpin tubuh badan kita ialah hati. Sepertimana kita wajib mentaati pemimpin kita ketika solat , begitu jugalah kita wajib mentaati pemimpin kita di luar solat.

anda pelawat yang ke-

Pengikut