Sabtu, 1 September 2012

URUSAN PENTING

 
Gelombang qosidah dan madaih semakin memuncak pada masa kini sehingga banyak rancangan khusus memfokuskan tentang fenomena ini. Inilah yang diharapkan oleh Nabi S.A.W kepada umatnya. Ini jugalah hiburan yang sangat memberi impak positif ke dalam hati umat Nabi Muhammad S.A.W samada umat dakwah, umat ijabah mahupun umat ittiba'. Qasidah ialah bait-bait syair yang dialunkan secara bernada. Madaih pula adalah syair-syair memuji Nabi S.A.W dan keluarganya.
Hiburan ini pernah diajar oleh Nabi S.A.W secara lansung dan tidak lansung. Tujuan sebenar amalan ini adalah untuk menambahkan kecintaan kita kepada Allah, NabiNya S.A.W dan keluarga Baginda S.A.W. Nabi pernah menyarankan kepada kita dengan sabdanya yang bermaksud: "Ajarkan anak-anak kamu supaya mencintaiku, ahli keluargaku dan membaca Al-Quran". Saranan ini sangat penting dan semestinya perlu diamalkan pada zaman sekarang yang penuh pancaroba fitnah dan kejahatan.  Amalan ini juga termasuk dalam sunnah Nabi S.A.W yang mana sekiranya diamalkan , maka seorang itu layak mendapat ganjaran pahala sama seperti ganjaran pahala seorang hingga seratus orang mati syahid . Sabda Nabi S.A.W: "Sesiapa yang beramal dengan satu sunnahku ketika zaman dipenuhi dengan fitnah , maka baginya ganjaran  seorang mati syahid", dan di dalam riwayat yang lain " pahala 100 orang mati syahid" Ulamak menerangkan bahawa ganjaran ini dapat meningkat dari 1 hingga ke 100 berdasarkan keikhlasan dan istiqomah seseorang individu melaksanakannya.
Jadi, hiburan berlandaskan syarak ini perlu diteruskan oleh semua umat Islam daripada semua lapisan masyarakat. Hiburan ini  juga dapat menangkis serangan daripada anasir-anasir luar dan dapat menyuburkan hati kita sebagai umat Islam. Amalkannya dan rasailah kesan yang sangat mendalam di lubuk hati kita. Bak kata pepatah ulamak : Sesiapa yang merasa, dia akan mengetahui kelazatannya. Sesiapa yang mengetahui kelazatannya pasti akan terus mencedok dan mengautnya tanpa rasa jemu.
 
 

anda pelawat yang ke-

Pengikut