Kita mengetahui kepentingan bersahabat dan berdamping dengan syeikh-syeikh mursyid untuk naik kepada peringkat kesempurnaan iman. Persoalannya sekarang, apakah ciri-ciri yang perlu ada pada syeikh-syeikh tarekat (Pewaris Nabi) yang membuktikan beliau betul-betul mursyid. Terdapat syarat-syarat keahlian dan kepakarannya yang perlu ada pada syeikh-syeikh mursyid itu. Syarat-syarat itu ialah arif dalam bidang fardhu 'ain, mengenal sifat-sifat Allah ('arif billah), sangat berpengalaman dengan jalan-jalan menyucikan diri dan landasan-landasan pentarbiahan diri dan perlu mendapat keizinan daripada syeikhnya yang juga mursyid untuk membawa ahli ke jalan Allah.
Ibn Sirin R.A pernah berkata:" Sesungguhnya ilmu itu adalah agama. Maka hendaklah kamu teliti daripada siapakah kamu ambil agama kamu ". Rasulullah S.A.W telah mewasiatkan kepada Ibn Umar R.A dengan sabdanya :
" Lazimilah agamamu ! Lazimilah agamamu! Sesungguhnya ia adalah daging dan darahmu. Hendaklah kamu teliti daripada siapakah kamu ambil. Ambillah ilmu agama daripada orang-orang yang benar dan janganlah kamu ambil daripada orang-orang yang sesat".
Ringkasannya, banyak alamat yang perlu dilihat pada seorang syeikh. Antaranya apabila kita duduk bersamanya, kita akan merasakan hembusan iman dan kegembiraan rohani. Mereka tidak akan berkata-kata kecuali kerana Allah, tidak bertutur kecuali kebaikan, tidak bercakap kecuali memberi peringatan atau nasihat.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan