Sabtu, 22 Januari 2011

SEDETIK MENGINGATI KELAHIRAN SAIDINA MUHAMMAD S.A.W

**((SEDETIK MENGINGATI KELAHIRAN SAIDINA MUHAMMAD S.A.W))**
KESUCIAN KETURUNAN
Kesucian keturunan Nabi صلى الله عليه وسلم mula dari Adam hinggalah Abdullah dan aminah daripada zina atau perkara-perkara yang keji di sisi agama Allah. Mereka terdiri daripada nabi-nabi, pengikut nabi-nabi ataupun ahli fitrah yang dihukumkan bagi mereka kelepasan daripada azab seperti firman Allah di dalam Surah Al-Israk ayat 15:
" وما كنا معذبين حتى نبعث رسولا "
Maksudnya: " dan tidak akan kami mengazabkan (sesuatu kaum) sehinggalah kami bangkitkan kepada mereka seorang rasul ".
(Al-Umdah m/s 324)
KETURUNAN TERPILIH
Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah yang paling terpilih di dalam kelompok yang terpilih dan yang paling terbaik daripada kelompok terbaik seperti di dalam hadis soheh Al-Mustadrak bagi Al-Hakim : " Sesungguhnya Allah memilih Kinanah daripada anak Ismail, dan memilih Quraish daripada Kinanah. Memilih Bani Hasyim daripada Quraish, dan memilihku daripada Bani Hasyim, maka akulah yang paling terpilih daripada kelompok yang terpilih."
(Al-Umdah m/s 324)
MUSIM TERPILIH
Berkata sesetengah Ahli Ma'ani : Adalah kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam musim Rabi' ( musim bunga ). Ianya ialah pertengahan musim , malamnya dan siangnya sederhana di antara panas dan sejuk, anginnya sederhana di antara kering dan lembap, mataharinya sederhana di antara tinggi dan rendah.
(Al-Umdah m/s 329)

BULAN TERPILIH
Bulan Rabi' juga bermakna pertengahan dan sederhana seperti mana agama Islam di dalam Syariat Nabi Muhammad juga syariat yang cukup mudah dah rahmat yang mana ianya tiada kurang dan melampau-lampau. Berbeza dengan agama yahudi yang melampau sehingga melawan Nabinya dan Nasrani yang melampau sehingga mempertuhankan Nabi mereka.


HARI TERPILIH
Terdapat beberapa isyarat pada kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم pada hari Isnin. Antaranya hadis yang terkandung di dalam Musnad Al-Imam Ahmad Bin Hambal 2/327 : " أن الله خلق الشجر يوم الاثنين " (maksudnya: " Sesungguhnya Allah telah menciptakan pokok-pokok pada hari Isnin" ). Dan pada hadis ini terdapat peringatan yang besar iaitu penciptaan segala makanan yang mengenyangkan, rezeki, buah-buahan dan kebaikan yang mana anak-anak Adam memerlukannya, hidup dengan sebabnya, menjadikannya ubat-ubatan, lapang dada mereka ketika melihatnya, selesa diri mereka dengannya dan tenang fikiran mereka ketika melihatnya kerana ketenangan diri mereka hasil daripada perkara-perkara yang membuatkan hidup mereka berpanjangan . Semuanya ini berlaku di atas hikmah Allah Yang Maha Bijaksana subhanahu wata'ala. Maka kewujudan Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam bulan ini dan hari ini penyejuk mata dengan sebab adanya kebaikan yang besar dan keberkatan yang meliputi bagi umat Baginda صلى الله عليه وسلم .
(Al-Umdah m/s 324)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

anda pelawat yang ke-

Pengikut