Sabtu, 5 Februari 2011

ENGKAULAH RAHMAT.....






ENGKAULAH RAHMAT......



Pernah aku terfikir satu ketika dahulu tentang kaitan firman Allah Ta'ala : " Tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan engkau adalah rahmat sekalian alam". dan hadis Baginda S.A.W yang memberi pengertian bahawa Allah memiliki 100 gedung rahmat tetapi hanya satu gedung saja rahmat diturunkan ke dunia. 99 gedung rahmat yang lain disimpan untuk hamba-hambaNya yang dikasihi di negeri akhirat. Apabila aku merenung hadis yang menunjukkan hanya satu rahmat diberi oleh Allah dan di dalam Al-Quran pula Allah menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W adalah rahmat, maka terlintas di fikiranku adakah gedung rahmat yang diturunkan itu adalah Rasulullah S.A.W ?? Aku mencari dan terus mencari jawapan dari hari ke hari. Di dalam fatrah itu, aku bertemu dengan sahabatku di alam maya. Lalu aku mengirimkan persoalan ini kepada guruku Al-Musnid As-Syeikh Muhammad Abu Zeid melalui sahabatku. Beberapa hari selepas itu sahabatku menghubungiku semula bersama jawapan daripada guruku. Guruku hanya menjawab dengan jawapan ringkas iaitu " Ya".






Bermula saat itu aku bertambah kagum dengan kelebihan Baginda S.A.W. Subhanallah!!!. Rupanya kasih sayang yang kita miliki sesama manusia dan makhluk lain adalah berpunca daripada Rasulullah S.A.W. Kenapa tidak?? Sedangkan termaktub di dalam hadis yang soheh bahawa Allah telah menurunkan rahmatNya dan dengan sebab rahmat itulah seekor kuda betina pun tidak akan memijak anaknya ketika ia melahirkan anak. Perkara ini berlaku tidak lain tidak bukan kerana Rahmatnya Rasulullah S.A.W.


Aku meneliti lagi ayat Al-Quran yang membuktikan bahawa Baginda S.A.W rahmat sekelian alam. Aku teringat kembali sepanjang pengajian bersama guru-guruku , sering aku difahamkan erti sebenar alam. Semua mahkluk yang diciptakan dinamakan alam. Jika disebut dengan ibarat yang lain : alam adalah semua makhluk kecuali Allah. Jadi mana mungkin Baginda S.A.W menjadi rahmat kepada semua makhluk seperti batu, bukit, pokok, haiwan, makanan, manusia , jin , malaikat dan lain-lain?? Aku menyemak kembali tafsiran-tafsiran ulamak tentang ayat itu. Tiba-tiba aku terbaca tafisran Imam Sya'rawi seorang ulamak yang tersohor di Mesir. Beliau mengupas secara ringkas ayat ini dengan mengatakan bahawa Baginda S.A.W memang rahmat semua makhluk.

Contohnya rahmat kepada haiwan, baginda ada bersabda bahawa setiap tanaman yang dimakan oleh burung-burung atau haiwan-haiwan itu dinamakan sedekah bagi makhluk-makhluk itu.

Contoh rahmat kepada bukit dapat kita ketahui daripada pengakuan Baginda S.A.W yang mencintai bukit Uhud dan begitu juga bukit itu mencintainya.


Baginda S.A.W juga rahmat kepada nabi-nabi dan rasul-rasul lain kerana Baginda S.A.W pelengkap bagi kenabian dan kerasulan mereka semua.




Rahmat kepada Malaikat di mana di dalam Riwayat menyatakan bahawa Jibril sentiasa risau dan gelisah sehinggalah Baginda S.A.W muncul bersama wahyu Allah.


Contoh rahmat kepada syaitan ialah qarin Baginda S.A.W memeluk Islam dengan keberkatan Baginda S.A.W.


Baginda S.A.W juga rahmat kepada orang kafir kerana mereka tidak diazab di dunia oleh Allah apabila mereka mengkufuri Allah . Berbeza dengan umat nabi sebelumnya yang mana Allah akan menurunkan azab serta merta apabila umat itu mengkufuri Allah.


Bahkan Baginda S.A.W juga rahmat untuk umat-umat terdahulu ketika di akhirat kerana syafa'at yang terbesar adalah miliknya dan umat-umat dahulu pun akan mendapat syafa'atnya .


Berita yang paling menggembirakan kita umat Islam adalah rahmat Baginda S.A.W amat besar bagi kita semua kerana kita adalah umatnya. Tidaklah kita semua menjadi mulia kecuali dengan kemulian Baginda S.A.W. Baginda S.A.W telah mengatakan bahawa sesiapa yang tidak mempunyai anak yang mati ( seorang anak atau 2 orang anak yang mati akan memberi syafa'at kepada ibu bapanya di akhirat) , maka Bagindalah S.A.W yang akan menggantikan tempat anak itu bagi yang tidak mempunyai anak yakni Bagindalah S.A.W akan memberi syara'at kepada umat-umatnya.






Ya Rasulullah S.A.W, janganlah jadikanku orang yang terhijab dari diri dan syafa'atmu. Sambutlah tanganku, bawaku bersamamu kepada Allah. Sesungguhnya engkau Nabi Rahmat sekelian alam dan aku aku sebahagian daripada alam. Jadilah kasih sayangku kasih sayang yang sebenar-benarnya dengan keberkatan dirimu.......Amin......






Sabtu, 22 Januari 2011

SEDETIK MENGINGATI KELAHIRAN SAIDINA MUHAMMAD S.A.W

**((SEDETIK MENGINGATI KELAHIRAN SAIDINA MUHAMMAD S.A.W))**
KESUCIAN KETURUNAN
Kesucian keturunan Nabi صلى الله عليه وسلم mula dari Adam hinggalah Abdullah dan aminah daripada zina atau perkara-perkara yang keji di sisi agama Allah. Mereka terdiri daripada nabi-nabi, pengikut nabi-nabi ataupun ahli fitrah yang dihukumkan bagi mereka kelepasan daripada azab seperti firman Allah di dalam Surah Al-Israk ayat 15:
" وما كنا معذبين حتى نبعث رسولا "
Maksudnya: " dan tidak akan kami mengazabkan (sesuatu kaum) sehinggalah kami bangkitkan kepada mereka seorang rasul ".
(Al-Umdah m/s 324)
KETURUNAN TERPILIH
Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah yang paling terpilih di dalam kelompok yang terpilih dan yang paling terbaik daripada kelompok terbaik seperti di dalam hadis soheh Al-Mustadrak bagi Al-Hakim : " Sesungguhnya Allah memilih Kinanah daripada anak Ismail, dan memilih Quraish daripada Kinanah. Memilih Bani Hasyim daripada Quraish, dan memilihku daripada Bani Hasyim, maka akulah yang paling terpilih daripada kelompok yang terpilih."
(Al-Umdah m/s 324)
MUSIM TERPILIH
Berkata sesetengah Ahli Ma'ani : Adalah kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam musim Rabi' ( musim bunga ). Ianya ialah pertengahan musim , malamnya dan siangnya sederhana di antara panas dan sejuk, anginnya sederhana di antara kering dan lembap, mataharinya sederhana di antara tinggi dan rendah.
(Al-Umdah m/s 329)

BULAN TERPILIH
Bulan Rabi' juga bermakna pertengahan dan sederhana seperti mana agama Islam di dalam Syariat Nabi Muhammad juga syariat yang cukup mudah dah rahmat yang mana ianya tiada kurang dan melampau-lampau. Berbeza dengan agama yahudi yang melampau sehingga melawan Nabinya dan Nasrani yang melampau sehingga mempertuhankan Nabi mereka.


HARI TERPILIH
Terdapat beberapa isyarat pada kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم pada hari Isnin. Antaranya hadis yang terkandung di dalam Musnad Al-Imam Ahmad Bin Hambal 2/327 : " أن الله خلق الشجر يوم الاثنين " (maksudnya: " Sesungguhnya Allah telah menciptakan pokok-pokok pada hari Isnin" ). Dan pada hadis ini terdapat peringatan yang besar iaitu penciptaan segala makanan yang mengenyangkan, rezeki, buah-buahan dan kebaikan yang mana anak-anak Adam memerlukannya, hidup dengan sebabnya, menjadikannya ubat-ubatan, lapang dada mereka ketika melihatnya, selesa diri mereka dengannya dan tenang fikiran mereka ketika melihatnya kerana ketenangan diri mereka hasil daripada perkara-perkara yang membuatkan hidup mereka berpanjangan . Semuanya ini berlaku di atas hikmah Allah Yang Maha Bijaksana subhanahu wata'ala. Maka kewujudan Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam bulan ini dan hari ini penyejuk mata dengan sebab adanya kebaikan yang besar dan keberkatan yang meliputi bagi umat Baginda صلى الله عليه وسلم .
(Al-Umdah m/s 324)

Isnin, 17 Januari 2011

SIAPAKAH SYI'AH???




PENYELEWENGAN AKIDAH SYI’AH

Syi’ah adalah golongan yang meninggikan Saidina Ali secara khususnya. Mereka berpendapat bahawa perlantikkan Saidina Ali sebagai imam dan khalifah adalah berdasarkan dalil dan wasiat Nabi S.A.W secara jelas ataupun sembunyi. Mereka juga beriktiqod bahawa tidak akan dilantik seorang itu menjadi Imam dan Khalifah kecuali daripada keturunannya. Bagi mereka, masalah perlantikan imam dan khalifah bukanlah sekadar maslahah umat Islam tetapi perkara asal agama bahkan rukun agama Islam dam tidak harus bagi Nabi S.A.W melupainya, meringankannya dan menyerahkannya kepada masyarakat umum. Golongan ini juga bersepakat bahawa Nabi S.A.W dan juga imam-imam yang dilantiknya adalah maksum atau suci daripada melakukan dosa kecil dan besar. Fahaman ini bercanggah dengan al-Quran & Al-hadis tetapi hampir sama dengan fahaman orang kristian di mana setiap paderi mereka adalah maksum atau suci daripada dosa.

Sebahagian mereka berpendapat bahwa agama yang sebenar adalah mentaati kepada imam dan khalifah sehinggakan mereka mentakwil makna solat, berpuasa, zakat dan haji dengan makna mentaati pemimpin. Sebahagian mereka meninggalkan syarak selepas sampai ketaatan penuh kepada pemimpin. Terdapat juga pendapat mereka yang mengatakan bahawa tiada kepercayaan hari akhirat , berpindah roh orang yang mati kepada jasad baru samada manusia atau haiwan, Allah itu mempunyai tubuh badan seperti manusia, bersatu zat Allah di dalam jasad manusia menyebabkan manusia itu mengetahui perkara-perkara ghaib dan kembalinya seseorang ke dunia selepas beliau mati. Semua ikhtikad ini adalah sesat dan sangat menyimpang jauh daripada pengangan ahli sunnah wal jamaah. Fahaman ini mirip Yahudi dan Hindu.

Ada juga ulamak mereka mengatakan bahawa ilmu Allah ada permulaan iaitu ada perkara yang Allah baru mengetahuinya selepas perkara itu berlaku. Bagi mereka Allah pernah tersalah sangka pada beberapa perkara dan pernah memberi arahan yang salah seperti tersalah arahan memberi wahyu kepada Nabi S.A.W bukan kepada kepada Saidina Ali. Ada juga yang mengatakan bahawa bunyi guruh adalah suara Saidina Ali dan kilat pula adalah senyumannya. MasyaAllah!! Akidah ini amat berbahaya kepada kita sebagai pengikut ahli sunnah wal jamaah.



( petikan ringkas berdasarkan kitab Milal Wal Nihal As-Syahrusatani )

Selasa, 4 Januari 2011

SERUAN DUNIA....






SERUAN DUNIA...




Sesungguhnya dunia akan menyeru dengan beberapa seruan pada hari Khamis.

SERUAN PERTAMA: Wahai anak Adam , engkau berjalan di atas belakangku dan tempat kembalimu adalah di dalam perutku.

SERUAN KEDUA : Wahai anak Adam, engkau sentiasa makan pelbagai jenis makanan di atasku, dan engkau pula akan dimakan oleh ulat-ulat di dalam perutku.



SERUAN KETIGA : Wahai anak Adam, engkau sentiasa ketawa di atasku dan engkau akan menangis di dalam perutku.

SERUAN KEEMPAT : Wahai anak Adam, engkau sentiasa gembira di atasku dan engkau akan bersedih di dalam perutku.

SERUAN KELIMA : Wahai anak Adam, engkau melakukan dosa di atasku dan engkau akan merasa azabnya di dalam perutku.

Jumaat, 17 Disember 2010

7 Peringkat Tipu Daya Syaitan




Syaitan bermakna setiap yang melanggar perintah samada jin, manusia ataupun haiwan. golongan syaitan yang paling pintar menyesatkan manusia yang ingin beribadat kepada Allah adalah daripada golongan jin. Mereka berkerja 24 jam tanpa henti untuk menyesatkan manusia tetapi manusia pula 24 jam tak pernah merasa ataupun lari daripada tipu daya mereka. Berapa banyak amalan kita yang telah dirosakkan oleh syaitan walaupun amalan itu pada zahirnya nampak baik dan sempurna. Mari sama-sama kita melihat bagaimana helah dan teknik syaitan menyesatkan umat Islam yang ingin beramal soleh.

HELAH PERTAMA - Melarang kita untuk melakukan amal ibadat.


CARA ATASI : Kita menyedari hidup kita sangat berhajat kepada bekalan untuk menuju ke akhirat.





HELAH KEDUA - Apabila kita hendak melakukan ibadat itu, maka Syaitan menghasut lagi agar berlengah-lengah melakukannya.


CARA ATASI : Kita menyedari bahawa ajal bukan di tangan kita. Seandainya kita lengahkan ke hari esok, kemudian pula ke hari esok, dan seterusnya bilakan kita dapat melakukannya??Bagaimana pula seandainya ajal kita datang secara tiba-tiba dan kita belum sempat melakukannya. Alangkah ruginya.



HELAH KETIGA - Apabila kita dapat melawan helahnya yang kedua dan melakukan amal kebaikan itu, Syaitan akan menghasut agar mempercepatkan amalan itu agar segera selesai. Maka amalan itu tidak sempurna dan tak ubah seperti melepas batuk di tangga.


CARA ATASI : Kita menyedari bahawa amalan yang sedikit tetapi sempurna dan tenang lebih baik daripada amalan banyak yang mempunyai kecacatan dan kekurangan. Maka kita lakukannya dengan tenang dan berharap kepada Allah.





MySpaceAnimations.com



HELAH KEEMPAT - Jika kita berjaya melepasi halangan keempatn, maka Syaitan akan mengarahkan kita menyempurnakan amal ibadat itu tetapi dihasut agar menunjuk-nunjuk kepada orang atau riak.



CARA ATASI : Kita merasakan bahawa amalan kita hanya Allah yang akan memberi ganjarannya dan bukan makhluk. Cukuplah sekadar Allah melihat amalan kita. Ingatkan diri kita bahawa amalan kita sia-sia dan tidak diterima Allah seandainya ada perasaan ingin menunjuk-nunjuk.





HELAH KELIMA - Apabila kita hilang perasaan riak, maka dihasutnya agar kita ujub atau merasa hairan dengan kebaikan yang kita lakukan dan merasanya satu kelebihan bagi diri kita. Syaitan berbisik : " Alangkah hebatnya engkau !! Alangkah mulianya engkau !! Alangkah rajin dan baiknya engkau !!"



CARA ATASI : Kita menyedari bahawa semua kelebihan itu kurniaan Allah dan seandainya Allah tidak mengurniakan kepada kita, maka kita tiada apa-apa. Oleh itu, semua kelebihan itu adalah kelebihan Allah semata-mata. Kita hina dan tiada harga pada hakikatnya.





HELAH KEENAM - Syaitan membisikkan kepada kita bahawa kita telah menyembunyikan amalan ibadat kita tanpa pengetahuan orang. Tunggulah suatu hari nanti Allah akan menzahirkan amalan kita kepada semua orang dan ketika itu kita akan dipandang mulia di mata manusia kerana kononnya beribadat secara bersembunyi dan ikhlas kerana Allah.



CARA ATASI : Ketahuilah bahawa itu adalah sebahagian daripada sifat riak. Oleh itu, kita perlu merasakan bahawa kita adalah hamba Allah. Tugas seorang hamba adalah berkerja dan seandainya tuannya ingin membesarkan amalan itu terserahlah kepadanya. Jikalau tuan itu memandang remeh pekerjaan itu , maka semua itu haknya.



MySpaceAnimations.com

HELAH KETUJUH - Apabila kita dapat mengatasi helah keenamnya, maka dia akan berbisik lagi bahawa seandainya Allah sudah menentukan kita ahli syurga, maka tidak perlulah kita bersusah payah melakukan ibadat dengan tekun. Sebaliknya kalau kita telah ditetapkan oleh Allah ahli neraka , maka tidak berguna lansung amalan kita tadi.



CARA ATASI : Kita perlu menyedari bahawa usaha kita adalah wajib. Balasan syurga dan neraka adalah urusan Allah. Lagipun ALlah telah berjanji barang sesiapa yang berbuat baik tempatnya yang terbaik dan barang sesiapa melakukan sebaliknya nescaya nerakalah tempatnya. Berserah kepada Allah dan teruskan kerja kita sebagai hambaNya di muka bumi ini.




Rabu, 8 Disember 2010

Matlamat Hidup ?? (ep 2)

Berbakti kepada bapa juga tidak kurang mulianya di sisi Allah. Di dalam riwayat yang soheh, ada menceritakan kepada kita bagaimana seorang lelaki bebas daripada terperangkap di dalam gua dengan sebab keberkatan beliau berbakti kepada bapanya. Pada suatu hari, beliau bersama dua orang kawannya telah berteduh di dalam sebuah gua. Tiba-tiba seketul batu yang besar telah jatuh dan menutup pintu gua itu. Mereka telah berusaha keluar daripada gua itu namun mereka tidak mampu. Akhirnya mereka memohon kepada Allah membukanya dengan keberkatan amalan baik mereka. Orang yang pertama telah berdoa kepada Allah dengan keberkatan beliau meninggalkan zina dengan seorang perempuan yang sangat dicintainya. Seorang lagi lelaki berdoa dengan keberkatan bersedekah. Lelaki yang terakhir berdoa pula dengan keberkatan beliau berbakti kepada bapanya. Beliau mempunyai seorang bapa yang sudah tua. Setiap hati beliau akan menghantar makanan kepadanya. Pada suatu malam ketika beliau pergi untuk menghantar makanan, didapati bapanya telah tidur . beliau tidak ingin mengejutkan bapanya kerana ditakuti beliau menggangguinya. Beliau menunggu sehingga bapanya bangun. Di sininya ada seorang anak yang sangat lapar dan menangis kerana inginkan makanan yang dibawanya itu. Namun beliau tidak memberikan hak bapanya kepada anaknya sendiri kerana takut melukakan hati bapanya. Baginya menjaga keperluan bapanya lebih daripada menjaga keperluan anaknya sendiri. Subhanallah. Dengan sebab kebaktian itulah Allah telah meredhainya . Selepas mereka bertiga berdoa dengan keberkatan amalan masing-masing, pintu gua itu pun terbuka dan mereka pun keluar daripada gua itu dengan selamat. Lihatlah bagaimana keberkatan berbakti kepada seorang bapa. Cuba kita qiaskan keadaan tadi dengan keadaan kesusahan yang kita alami sekarang. Pastinya Allah akan memberi kesenangan kelak kepada kita dengan sebab kebaktian kita terhadap bapa kita dan dengan sebab kita tidak menderhakainya. Ingatlah, penderhakaan terhadap ibu bapa adalah dosa besar dan mentaati mereka berdua pula ialah tuntutan yang sangat besar. Setiap penderhakaan terhadap ibu bapa akan dipercepatkan balasannya di dunia. Oleh sebab itulah Baginda S.A.W berpesan agar kita berbuat baik terhadap ibu bapa kerana anak-anak kita juga akan berbuat baik pada kita suatu hari nanti. Seandainya berlaku sebaliknya , maka balasannya juga sebaliknya. Ya Allah, jadikanlah hambamu yang hina dan keluarga ini di kalangan orang yang mentaati ibu bapa kami dan jauhilah kami daripada sebarang penderhakaan.
Ketika kita selesai takbiratul ihram, kita diharamkan melakukan perkara-perkara selain daripada amalan dan gerakkan solat. Pergerakkan kita ketika itu amat terbatas. Ingatlah, kehidupan kita di dunia ini juga sebenarnya amat terbatas di dalam usaha kita untuk mencapai matlamat kita iaitu beribadat kepada Allah. Baginda S.A.W pernah berpesan kepada kita bahawa dunia ini adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir. Kesenangan dan keseronokkan itu ada batasannya berbanding orang yang kafir di mana mereka sanggup berbuat apa sahaja demi memuaskan nafsu mereka . Bagi mereka , kehidupan di dunia ini hanya sekali dan setiap amalan mereka tidak akan dihitung di akhirat. Ingatlah , kehidupan di dunia hanya sementara dan kehidupan di akhirat adalah kekal selama-lamanya. Di sanalah kehidupan kita yang sebenar dan paling berharga. Berapa tahun kesenangan kita di dunia berbanding jutaan tahun kesenangan kita di akhirat kelak? 50 tahun? 60 tahun? 70 tahun atau 100 tahun ??? Bersabarlah apabila melihat kekayaan, kekuasaan dan kesenangan orang yang kufur kepada Allah di dunia ini kerana semua itu lansung tiada harganya di sisi Allah, rasulNya dan mukmin. Seandainya nikmat dunia ini berharga walaupun sebesar sayap nyamuk , nescaya Allah tidak akan memberikannya lansung kepada orang yang kufur. Bergembiralah dengan berita tentang syurga Allah yang akan dimiliki oleh orang beriman yang mana di dalamnya terdapat istana yang megah berdiri, bidadari yang tidak terhitung bilangannya, apa saja keinginan yang diminta oleh penghuninya. Bersabarlah di atas kehidupan sementara ini untuk menikmati kehidupan yang kekal selama-lamanya. Fahamilah.!!!
Kemudiannya, mulakanlah bacaan doa iftitah kerana ianya sunat dan setiap amalan sunat akan menyempurnakan amalan wajib. Seterusnya kita iringi bacaan wajib iaitu Surah al-Fatihah. Bacalah surah yang mulia ini dengan berhati-hati, tenang dan bertajwid. Hendaklah kita berhenti pada setiap akhir ayat kerana itulah cara bacaan paling sempurna yang pernah diajar oleh Baginda S.A.W kita. Seandainya kita berhenti pada setiap ayat, wajiblah kita menarik nafas baru untuk membaca ayat seterusnya. Janganlah kita berhenti pada akhir ayat tanpa mengambil nafas baru kerana ia dinamakan hukum saktah seperti bacaan kita di dalam surah Ya Sin. Ketahuilah bahawa di dalam Surah Al-Fatihah tiada hukum saktah. Seandainya kita tidak menarik nafas baru, maka perlulah kita sambungkan setiap ayat dan menyebut huruf terakhir bagi setiap ayat. Tanyalah kepada orang yang lebih mengetahui tentang hal ini kerana kesalahan kita membaca Al-Fatihah akan merusakkan solat kita. Solat itu tidak sah kerana Al-Fatihah adalah rukun wajib yang mesti di jaga. Bagaimana pula keadaan orang yang solat sedang tidak sah?? Neraka Wail tempatnya. والعياذ بالله من ذلك
Teruskanlah melakukan perbuatan-perbuatan solat dengan penuh penghayatan dan khusyuk. Pastikan setiap rukun kita diselangi dengan dengan tomakninah iaitu berhenti seketika dengan kadar bacaan سبحان الله atau kadar sesaat. Sentiasalah sedar diri ketika melaksanakannya. Sesungguhnya hikmat menyebut الله أكبر sebelum kita ke perbuatan yang lain adalah untuk menyedarkan diri kita bahawa kita sedang menjalani ibadat solat semenjak dari takbiratul ihram lagi. Janganlah kita menyia-nyiakan peluang terbaik untuk mendapat rahmat Allah ketika itu. Mungkin solat itu adalah solat kali terakhir buat kita dan ajal kita akan menyusuli selepas selesai kita melaksanakan solat itu. Di antara cara –cara untuk tenang dan khusyuk di dalam solat adalah dengan memahami bacaan-bacaan di dalam solat lebih-lebih lagi surah Al-Fatihah. Cubalah fahami maksud ayat di dalam surah yang mulia ini kerana surah ini adalah ringkasan bagi keseluruhan Al-Quran. Tidak malukah kita kepada Allah kerana telah bertahun-tahun lamanya kita membaca ayat-ayatnya ini namun sedikit pun kita tidak cuba untuk memahaminya??? Sedangkan kita sentiasa untuk memahami tugas kita yang diarahkan oleh majikan kita agar dapat melakukannya dengan baik dan mendapat pujian daripadanya. Seterusnya dinaikkan pangkat dan mendapat nama di mata masyarakat??? Adakah pujian daripada Allah lebih rendah daripada pujian makhluknya dan adakah pangkat di sini Allah lebih kecil daripada pangkat di sisi makhluk??? Fikirkanlah !!!

Ahad, 28 November 2010

Matlamat Hidup ?? (ep 1)





بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah yang menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi serta mengarahkan mereka agar sentiasa beribadah kepadaNya, solawat dan salam ke atas junjungan mulia Penghulu sekalian nabi iaitu Saidina Muhammad S.A.W dan ke atas keluarga yang suci serta sahabat yang terpilih
. أمابعد.

Ketahuilah wahai saudaraku bahawa setiap perkara perlu ada matlamat dan hala tuju. Begitu juga hidup kita yang sementara ini perlu ada matlamat yang jelas. Seandainya kita tiada matlamat hidup yang tepat dan jelas, pasti kita tak ubah seperti lalang yang ditiup angin. Seandainya ditiup ke kanan, maka ia ke kanan dan seandainya ditiup ke kiri, maka ia turut ke kiri. Hidup kita ketika itu tidak memberi apa-apa makna untuk diri kita dan orang lain.
Ketahuilah sesungguhnya agama yang kita cintai iaitu Islam telah memberi garis panduan kepada kita bagi mencari matlamat hidup. Bahkan Islam itu sendiri telah menetapkan kepada kita apakah matlamat hidup sebagai seorang Islam. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala di dalam firmannya :

“ Tidaklah kami jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka sentiasa beribadat”

Jelas di dalam ayat di atas bahawa kita diciptakan untuk beribadat dan merendahkan diri kepada Allah. Matlamat kita hidup di dunia yang sementara ini ialah semata-mata beribadat kepada Allah.

Ketahuilah bahawa ibadat yang dituntut oleh Allah terbahagi kepada 2 iaitu ibadat khusus dan ibadat umum. Ibadat khusus adalah ibadat yang dituntut ke atas kita pada masa yang tertentu dan peraturan-peraturan yang tertentu seperti solat 5 waktu sehari semalam, puasa di bulan Ramadhan, zakat apabila cukup tempoh dan sukatan, menunaikan haji seandainya mampu dan lain-lain. Manakala ibadat umum pula meliputi semua gerak-geri kita di dalam kehidupan seharian seperti bekerja , makan dan minum, tidur, bergaul sesama insan dan lain-lain dengan syarat niat kita kerana Allah dan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W ketika melakukan perbuatan itu. Pekerjaan kita , tidur kita , makan dan minum kita, perjalanan kita, percakapan kita, penglihatan kita dan apa saja yang kita lakukan setiap hari jika dengan niat yang betul akan diberi ganjaran oleh Allah kerana amalan itu semuanya dinamakan ibadat . Fahamilah !!!

Ketahuilah wahai saudaraku, dunia hari ini penuh dengan fitnah ( yakni kerosakkan). Ianya ada di mana-mana. Kerosakkan-kerosakkan itu telah menular kepada kita samada tanpa kita sedari atau kita sedari. Itulah yang dinamakan fitnah kehidupan akhir zaman. Fitnah pada hari ini terlalu banyak dan tidak mampu kita hitung. Setiap yang membawa kita menjadi lalai terhadap matlamat kita yang utama iaitu beribadat kepada Allah samada secara sedar atau tidak sedar , maka itulah dinamakan fitnah akhir zaman. Ianya tidak ubah seperti virus yang berbahaya di mana kita perlu memiliki antibodi yang kuat untuk mengatasinya atau paling tidak kita perlu lari sejauh-jauhnya dari virus yang berbahaya itu. Hanya 2 jalan ini sajalah yang dapat menyelamatkan kita.
Wahai saudaraku, seandainya kita terpaksa mengharungi fitnah ini, maka perlulah kita mempersiapkan diri dengan tembok yang kukuh untuk menghalangnya daripada memudharatkan iman kita dan iman keluarga kita. Tembok yang paling kukuh bagi orang Islam ialah solat 5 waktu kerana ianya dapat menegah seseorang daripada kejahatan dan kemungkaran. . Berapa ramai orang Islam pada hari ini diserang dan tertewas dengan fitnah yang menyebabkan mereka hanyut di dalam kemaksiatan. Mereka telah terpesong daripada matlamat hidup mereka yang sebenar iaitu beribadat kepada Allah Yang Mencipta diri mereka. Hati mereka tidak pernah mengingati Allah walaupun sesaat. Mereka melupai Allah dan Allah juga akan melupai mereka di hari pembalasan yang paling dahsyat dan hari penyesalan bagi golongan yang tidak beribadat kepada Allah. Punca utama berlaku penderhakaan ini ialah kelalaian di dalam melaksanakan solat 5 waktu. Jikalau mereka melaksanakannya pun, perlaksanaan mereka mengikut hawa nafsu mereka dan bukan menurut peraturan-peraturan dari Allah.
Ketahuilah wahai saudaraku bahawa terdapat satu riwayat yang menceritakan tentang bagaimana seorang wanita terjerumus di dalam fitnah yang sangat besar disebabkan beliau meninggalkan solat Asar sahaja. Para sahabat telah mendatangi Nabi S.A.W dan menceritakan kepada baginda bahawa ada seorang wanita yang telah berzina di suatu tempat. Kemudian wanita itu telah mengandung anak luar nikah dan melahirkannya secara rahsia. Anak itu dibunuh dan direndamkannya ke dalam tempat penghasilan arak. Lalu arak itu dijual pula kepada orang ramai. Apabila Baginda Rasulullah mendengar berita itu, Baginda terus menyatakan bahawa wanita itu tadi telah meninggalkan solat Asar. MasyaAllah. Cuba kita perhatikan kesan buruk yang sangat besar apabila seseorang itu meninggalkan satu waktu solat sahaja. Bagaimanakah kesan buruk bagi golongan-golongan yang lansung tidak mendirikan solat atau pun melakukan sebahagian waktu sahaja dan meninggalkan waktu yang lain. Pastinya hati mereka menjadi gelap tanpa hidayah dan hidupnya yang bergelumang dengan nafsu keinginan duniawi yang membawa mereka alpa daripada matlamat kehidupannya iaitu beribadat kepada Allah.
Ketahuilah wahai saudaraku bahawa solat telah mengajar kita erti peraturan hidup menurut syariat Islam yang diredhai Allah. Solat mengajar kita agar mengurus masa dengan baik melalui waktu-waktu solat yang dihadkan oleh Allah. Sepertimana masa kerja kita yang dihadkan oleh majikan kita, begitu jugalah masa solat kita yang dihadkan oleh Allah. Seandainya kita takut dimarahi majikan kerana tidak menjaga masa kerja , maka apatah lagi Allah Yang Menciptakan kita. Apakah kita tidak perlu takut kepada Allah ??? Adakah kuasa majikan kita lebih besar dan hebat dari kuasa yang dimiliki oleh pencipta kita iaitu Allah. Fikirkan sejenak perkara ini nescaya Allah akan buka pintu kebaikan kepada kita semua.
Jangan kita berangan-angan panjang dan menangguhkan perintah Allah. Ramai orang yang jahil berkata : “ Nanti saya tua saya akan beribadat kepada Allah, sekarang saya masih muda dan mahu mencari keperluan hidup serta memenuhi cita-cita saya”. Mereka ini telah ditipu oleh syaitan yang durjana. Mereka menangguh-nangguhkan amalan mereka seolah-olah mereka tahu bahawa ajal mereka hanya akan tiba apabila mereka tua. Berapa ramai golongan bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa meninggal sebelum usia tua. Ajal tidak mengira usia, pangkat, darjat dan tempat. Seandainya mereka benar-benar jahil tentang tarikh dan masa ajal mereka, kenapa kita begitu yakin dengan masa depan mereka??? Padahal masa untuk beribadat semakin singkat , umur semakin meningkat, dosa kian bertingkat, bermacam-macam keinginan nafsu duniawi yang tak dapat disukat, Hari Kiamat pula semakin dekat . Berwaspadalah !!!
Sebelum kita melaksanakan solat, kita diwajibkan menyucikan diri dari hadas kecil dan besar. Penyucian ini bukan hanya pada zahir bahkan pada batin kita. Maksud penyucian batin ialah penyucian dari dosa besar dan kecil serta penyucian daripada sifat mazmumah seperti ego, besar diri, perasan, angkuh, tamak, cintakan harta, dengki, suka pujian, suka menunjuk-nunjuk, bangga dan lain-lain. Penyucian daripada dosa kecil terhasil dengan melakukan amalan wajib dan sunat. Manakala penyucian daripada dosa besar dan sifat mazmumah terhasil dengan bertaubat kepada Allah. Syarat-syarat bertaubat ada 4 iaitu berhenti daripada melakukan kesalahan itu, menyesal di atas semuanya, berazam tidak akan mengulanginya lagi , dan yang terakhir ialah memulangkan hak orang yang kita ambil . Ketahuilah bahawa pintu taubat sentiasa terbuka. Semua manusia melakukan kesalahan dan sebaik-baik pesalah ialah yang bertaubat. Walaupun seseorang itu membunuh 100 orang yang tidak bersalah, namun Allah Yang Maha Pemaaf masih memberi peluang kepada si pembunuh itu. Ketahuilah bahawa Allah menyayangi kita dan sentiasa memanggil kita untuk kembali ke jalanNya. Subhanallah !!!
Setelah kita menyucikan diri, kita perlu menutupkan segala keaiban kita. Maksud keaiban itu ialah aurat kita. Menutup aurat bermakna menutup warna kulit dan bentuk badan. Setiap inci aurat kita berada di atas tanggungjawab kita. Maka perlulah kita menutupnya di hadapan Allah Yang Maha Sempurna. Amalan ini bukan hanya kita lakukan di dalam solat sahaja bahkan setiap masa dan ketika kecuali kita bersama mahram. Sepertimana Allah Maha Melihat ketika kita solat, begitu jugalah Allah Maha Melihat ketika kita berada di luar keadaan solat. Oleh itu, jagalah aurat kita sepanjang masa dan usia. Janganlah kita tertipu dengan hasutan nafsu dan syaitan melalui fesyen dan gaya terkini yang sangat jauh terpesong daripada landasan agama kita. Semua fesyen yang mendedahkan aurat dan bentuk tubuh adalah agenda Yahudi yang dilaknat Allah. Mereka telah lama menjalankan agenda ini dari semasa ke semasa. Mereka tidak pernah membaiki orang Islam bahkan sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan kita. Mereka memesongkan kita dari cahaya kepada kegelapan , sedangkan agama Islam sentiasa mengeluarkan dari kegelapan kepada cahaya kebenaran. Mereka mengajar kita mengkhianati Allah dan RasulNya. Mereka menghasut kita agar menghampiri kepada penzinaan sedangkan Allah telah memberi amaran dan arahan agar kita tidak menghampiri zina. Antara perkara yang menghampirkan kita kepada zina ialah membuka aurat. Ya Allah, lindungilah hambamu ini dan keluarga ini daripada menghampiri zina.
Ramai wanita pada hari ini menutup aurat berdasarkan kehendak nafsu mereka. Bagi mereka, menutup aurat ialah menutup rambut semata-mata sedangkan mereka membiarkan tangan , leher, telinga, kaki dan anggota lain dilihat orang. Ada pula yang menutup semua anggota tetapi ternampak bentuk tubuh mereka dengan jelas. Ada juga yang memakai tudung tetapi rambutnya disanggulkan sehingga kelihatan seperti bonggol unta. Semua jenis pemakaian yang disebutkan tadi sebenarnya menyeleweng jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Islam tidak pernah menghalang penganutnya memakai pakaian berbagai jenis dan warna tetapi pastikan menutup warna kulit dan bentuk tubuh. Ingatlah , aurat lelaki dari pusat hingga ke lutut dan aurat perempuan seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Berjihadlah di dalam menutup aurat diri kita dan keluarga . Ketahuilah bahawa orang yang menjaga aurat adalah orang yang amanah terhadap Allah. Orang yang amanah terhadap Allah maka balasannya adalah bersama Rasulullah S.A.W di dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan. Ketika itu mereka bisa meminta apa saja yang mereka kehendaki. Nikmat daripada Allah ketika itu mencurah-curah kepada mereka. Apa saja yang terlintas difikiran mereka, terus Allah sediakan. Subhanallah !!! Begitu beruntungnya golongan ini. Ya Allah, jadikan hambamu ini dan keluarga ini daripada golongan yang bersama Rasulullah di syurga. Amin…
Selepas itu, kita mengadap kiblat dan melafazkan niat solat lalu bertakbir sambil berniat di dalam hati. Lafaz niat adalah sebelum takbir dan tempatnya di lidah , manakala niat pula adalah ketika takbir dan tempatnya di dalam hati. Fahamilah!! Pastikan qosad, ta’arudh dan ta’yin di dalam niat kita di antara huruf Alif dan Ro pada lafaz الله أكبر yakni ketika menyebut Alif dan sebelum selesai menyebut Ro. Seandainya kita solat berjamaah, maka ikutilah imam tanpa mendahului perbuatannya. Solat kita tidak sah seandainya perbuatan kita berbeza daripada perbuatan imam kita. Imam ialah pemimpin kita di dalam solat. Setiap masa kita mempunyai pemimpin dan ada ketika kita pula yang memimpin. Pemimpin negara adalah raja. Pemimpin keluarga kita ialah ayah. Pemimpin isteri ialah suami. Pemimpin tubuh badan kita ialah hati. Sepertimana kita wajib mentaati pemimpin kita ketika solat , begitu jugalah kita wajib mentaati pemimpin kita di luar solat.

anda pelawat yang ke-

Pengikut