Selasa, 27 April 2010

KAMI MENGHARAP SYAFA'ATMU

Syafaat bermaksud memohon keampunan daripada Allah Ta’ala untuk hambanya. Allah mengurniakan kepada Baginda صلى الله عليه وسلم kita satu kelebihan yang sangat besar dan juga menguntungkan kita sebagai umatnya . Di mana Baginda صلى الله عليه وسلم akan memberi syafa’at kepada umat-umatnya dan umat-umat yang terdahulu. Terdapat juga syafa’at yang datang datangnya dari malaikat, nabi-nabi dan juga orang-orang yang soleh.
Terdapat banyak jenis syafa’at Baginda صلى الله عليه وسلم. Antaranya ialah:
1) Syafa’at untuk merehatkan keadaan makhluk-makhluk ketika ditimpakan kepada mereka kesusahan di Padang Mahsyar dan penantian padanya. Syafa’at ini dikhususkan kepada Baginda صلى الله عليه وسلم seorang sahaja dan ianya juga dinamakan As-Syafa’at Al-’Uzmah dan Al-Maqam Al-Mahmudah (yakni seperti di dalam doa selepas azan).
2) Syafa’at kepada golongan-golongan terpilih untuk masuk ke syurga tanpa di hisab.
3) Syafa’at bagi golongan yang melakukan dosa-dosa besar dari kalangan umat Baginda صلى الله عليه وسلم supaya dikeluarkan mereka dari neraka dan dimasukkan mereka ke dalam syurga.
4) Syafa’at bagi golongan yang dihisab dan layak untuk masuk ke dalam neraka supaya tidak masuk ke dalamnya.
5) Syafa’at untuk meningkatkan lagi peringkat-peringkat ahli syurga.
6) Syafa’at untuk meringankan azab sebahagian orang kafir seperti Abu Lahab yang bergembira dengan kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم.
7) Syafa’at bagi memudahkan perjalanan di atas as-Siroth (titian) dan al-Mizan (timbangan amalan).

Isnin, 12 April 2010

ALAMAT HATI SAKIT



Kufur – Munafik – Zalim – Hasad – Megah – Takabbur - Perasaan - Mengumpat – Mengadu domba – Lalai – Jahil - Bid’ah - - Berbohong – Bercakap banyak – Bakhil – Kedekut – Suka mengikut keinginan jahat – Meninggalkan suruhan Allah – Melakukan larangan – Meninggalkan suruhan kebaikan dan larangan kejahatan – Sesungguhnya kejahatan itu sangat menggelapkan hati, menghitamkan wajah, melemahkan badan – mengurangkan rezeki – dibenci di hati-hati makhluk.

Isnin, 5 April 2010

PEWARIS NABI







Kita mengetahui kepentingan bersahabat dan berdamping dengan syeikh-syeikh mursyid untuk naik kepada peringkat kesempurnaan iman. Persoalannya sekarang, apakah ciri-ciri yang perlu ada pada syeikh-syeikh tarekat (Pewaris Nabi) yang membuktikan beliau betul-betul mursyid. Terdapat syarat-syarat keahlian dan kepakarannya yang perlu ada pada syeikh-syeikh mursyid itu. Syarat-syarat itu ialah arif dalam bidang fardhu 'ain, mengenal sifat-sifat Allah ('arif billah), sangat berpengalaman dengan jalan-jalan menyucikan diri dan landasan-landasan pentarbiahan diri dan perlu mendapat keizinan daripada syeikhnya yang juga mursyid untuk membawa ahli ke jalan Allah.




Ibn Sirin R.A pernah berkata:" Sesungguhnya ilmu itu adalah agama. Maka hendaklah kamu teliti daripada siapakah kamu ambil agama kamu ". Rasulullah S.A.W telah mewasiatkan kepada Ibn Umar R.A dengan sabdanya :

" Lazimilah agamamu ! Lazimilah agamamu! Sesungguhnya ia adalah daging dan darahmu. Hendaklah kamu teliti daripada siapakah kamu ambil. Ambillah ilmu agama daripada orang-orang yang benar dan janganlah kamu ambil daripada orang-orang yang sesat".

Ringkasannya, banyak alamat yang perlu dilihat pada seorang syeikh. Antaranya apabila kita duduk bersamanya, kita akan merasakan hembusan iman dan kegembiraan rohani. Mereka tidak akan berkata-kata kecuali kerana Allah, tidak bertutur kecuali kebaikan, tidak bercakap kecuali memberi peringatan atau nasihat.



Kita pula dapat mengambil faedah daripada persahabatan atau berdampingan dengannya seperti mana faedah yang kita dapat menerusi kalamnya. Manfaat yang kita dapat ketika berdekatan dengannya sama seperti manfaat bila dia jauh meninggalkan kita. Kita juga mendapat manfaat yang sangat besar daripada pandangan lirik matanya seperti mana kita mendapat manfaat daripada lafaznya. Sesungguhnya semua ini didapati melalui kecapan rasa apabila bersama mereka. Siapa yang mengecap rasanya pastinya dia akan mengetahui dan apabila mengetahui kelazatannya, sudah tentu dia akan mengautnya.

ALAMAT HATI SIHAT



Berzikir kepada Allah – Membaca al-Quran – Bersalawat kepada Nabi – Bertaubat – Beristiqfar – Sayang kepada Rasulullah – Bertaqwa – Meninggalkan maksiat – Ikhlas – Adil – Kecerdikan – Bermuhasabah diri – Mementingkan orang lain – Banyak bersedekah – Berbuat baik – Menundukkan mata – Menjaga kemaluan – Malu – Berilmu – Bersabar – Bersyukur – Zuhud – Berpuasa – Qiamullail – Banyak doa – Bertawakal kepada Allah – Mengingati Allah – Pemaaf – Ihsan – Sesungguhnya kebaikan itu sangat memberi cahaya kepada hati, kekuatan di dalam badan, mencerahkan wajah, meluaskan rezeki dan dikasihi di hati-hati makhluk.

Ahad, 28 Mac 2010

ZAHIRNYA DIRIMU

KELAHIRAN JUNJUNGAN MULIA SAIDINA MUHAMMADصلى الله عليه وسلم
Hari kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم kita adalah suatu nikmat yang amat besar kepada kita. Setiap kenikmatan tidak sempurna tanpa ada kesyukuran. Nikmat Allah yang tidak terhitung itu perlu kepada kesyukuran agar manusia tidak terjerumus di dalam kekufuran nikmatNya. Kesyukuran dapat dizahirkan dengan menyebut, mengingat nikmat itu dan menggunakannya pada tempat yang betul. Hari kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلمatau lebih dikenali dengan Maulid ar-Rasulصلى الله عليه وسلم juga menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk mengingati dan menyebutnya. Amalan ini juga membuktikan bahawa kita amat berterima kasih kepada Allah dan Bagindaصلى الله عليه وسلم . Benarlah sabda Bagindaصلى الله عليه وسلم

”Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, nescaya dia tidak berterima kasih kepada Allah”.

Menyambut kelahiran Bagindaصلى الله عليه وسلم juga dianjurkan secara umum di dalam al-Quran pada ayat terakhir Surah Ad-Dhuha dengan firman Allah :

”Dan terhadap nikmat Tuhanmu, Maka hendaklah kamu siarkan. ”

Tidakkah kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلمyang diakui oleh Allah sebagai rahmat sekalian alam adalah sebagai suatu nikmat yang agung? Benarlah kata guru saya Baba Muhammad Al-Firasi: Rahmat bererti nikmat daripada Allah yang dibesarkanNya. Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri telah membuktikan kesyukurannya terhadap nikmat kelahirannya apabila Baginda صلى الله عليه وسلم seringkali berpuasa pada hari Isnin. Sahabat pernah bertanya tentang sebab amalan itu dilaksanakan oleh Bagindaصلى الله عليه وسلم . Lalu Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab :

” Itulah hari saya dilahirkan”.

Jika Baginda صلى الله عليه وسلم menyambut hari kelahirannya dengan melaksanakan sesuatu amalan yang berbentuk ibadat iaitu berpuasa, kenapa kita tidak boleh mengikuti sunnah Baginda صلى الله عليه وسلم dengan amalan berbentuk ibadat lain seperti kenduri, majlis ilmu, ceramah, berzikir dan lain-lain?
Seseorang pasti gembira dengan kelahiran anak, cucu atau saudaranya. Kegembiraan itu sebenarnya tidak dapat menandingi kegembiraan orang yang sempurna imannya terhadap kelahiran Junjungan Mulia صلى الله عليه وسلم . Baginda صلى الله عليه وسلم pernah bersabda:

”Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihiku lebih daripada dia mengasihi dirinya sendiri, ibu-bapanya dan sekalian manusia”.

Baginda juga pernah bersabda:

”Didikkanlah anak-anak kamu dengan 3 perkara, kasih kepadaku, kasih kepada keluargaku dan membaca al-Quran ”.

Orang yang mengasihi sesuatu pastinya bergembira apabila muncul apa yang dikasihinya. Allah telah mengarahkan kita agar bergembira dengan kewujudan Bagindaصلى الله عليه وسلم di dalam firmanNya Surah Yunus, ayat 58 :

Katakanlah: "Dengan kurnia Allah (yakni al-Quran) dan rahmat-Nya (yakni Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم), hendaklah dengan itu mereka bergembira. kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan".

Apabila kita mengetahui bahawa sambutan hari kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم adalah dianjurkan di dalam Islam, maka marilah sama-sama kita meneliti sedikit demi sedikit hikmah Allah memilih hari kelahiran kekasihNya صلى الله عليه وسلم ini. Peristiwa bersejarah ini berlaku selepas subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal Tahun Gajah bertempat di Sya’bi Bani Hasyim.

Malam kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم kita menjadi idaman para orang yang bertaqwa kerana malam itu terlebih mulia daripada malam Lailatul Qadar, malam nuzul al-Quran, malam Jumaat dan malam-malam yang lain. Di sini saya ingin memetik beberapa hujah As-Syeikh Al-Khatib Al-Hajj Ar-Rihal Muhammad Bin Ahmad Bin Marjuq tentang kelebihan malam kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم ke atas malam Laillatul Qadar. Antaranya ialah setiap kemuliaan sesuatu malam bergantung kepada sebab ianya dimuliakan. Maka kemuliaan malam kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم disebabkan kelahiran sebaik-baik makhluk iaitu Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri. Malam itu juga adalah malam kemunculan Baginda , manakala malam Lailatul Qadar adalah hadiah Allah untuk Baginda. Pastinya orang yang dihadiah itu lebih mulia daripada hadiah itu sendiri. Malam Lailatul Qadar menjadi mulia kerana turun padanya para malaikat tetapi malam kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلمmenjadi mulia kerana munculnya diri Baginda صلى الله عليه وسلم. Maka pastinya diri Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم lebih mulia daripada para malaikat. Malam Lailatul Qadar bermanfaat kepada golongan yang beramal pada waktu dan ketika itu sahaja tetapi malam kelahiran Baginda bermanfaat kepada semua makhluk pada setiap masa dan ketika.

Hari yang dipilih oleh Allah untuk menzahirkan kekasihNya صلى الله عليه وسلم di muka bumi ini ialah hari Isnin. Hari ini melambangkan kesuburan, keindahan, ketenangan, kebaikan dan keberkatan. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم di dalam Musnad Imam Ahmad :

” Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mencipta segala pokok pada hari Isnin”.

Segala makanan, rezeki, buah-buahan, kebaikan diciptakan pada hari itu kerana manusia berhajat kepadanya untuk hidup ,mengubati penyakit, melapangkan hati ketika melihatnya dan ketenangan jiwa. Begitu jugalah kewujudan Baginda صلى الله عليه وسلم pada hari itu sebenarnya menjadi penyejuk mata hati setiap makhluk Allah dan kebaikannya mengatasi segalanya.

Setelah kita mengetahui beberapa perkara di atas, mari pula kita hayati hikmat Allah Ta’ala memilih bulan Rabi’ul Awal sebagai bulan kelahiran Baginda sedangkan bulan itu tidak menjadi sebut-sebutan bagi orang arab ketika itu. Rabi’ bermakna musim bunga yang mana pada musim itu tumbuhlah benih-benih dengan suburnya. Ketika itu, udara tidak terlalu kering dan tidak terlalu lembap, cuaca pula tidak terlalu panas dan tidak terlalu basah, matahari pula tidak terlalu jauh dengan bumi dan tidak terlalu dekat dan malam serta siangnya tidak terlalu lama dan tidak terlalu singkat. Pada musim itu biasanya manusia dijauhi dengan segala penyakit, kekuatan badan mereka ditahap yang baik dan lapang hati mereka melihat tumbuh-tumbuhan mekar berkembang. Musim ini suatu musim yang pertengahan dari segala aspek dan setiap yang berada di pertengahan itu adalah sesuatu perkara yang paling baik. Bertepatanlah dengan sabda Baginda :

” Sebaik-baik perkara adalah yang dipertengahannya ”

Begitu jugalah keadaan agama Islam yang dibawa Insan yang dilahirkan pada tanggal 12 di musim bunga iaitu Nabi Muhammad yang menonjolkan kesederhanaan dan kemuliaan agamanya. Setengah ulama mengatakan bahawa, jikalau Baginda dilahirkan pada hari Jumaat dan pada bulan-bulan yang mashyur seperti Ramadhan, Syawal atau selainnya, pastinya ada orang yang tersalah anggap bahawa kelahiran Nabi menjadi mulia dengan sebab hari dan bulan-bulan tersebut. Sebenarnya kemulian Baginda lansung tidak bergantung kepada kelebihan yang lain sebaliknya kelebihan Baginda dipinta dari yang lain.






Ahad, 21 Mac 2010

Tanda Kenabian Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

عن الجعد بن عبد الرحمن قال : سمعت السائب يقول :

" ذَهَبْتُ بِيْ خَالَتِيْ إِلىَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ : يَا رَسُوْلَ اللهِ ,

إِنَّ ابْنَ أُخْتِيْ وَجِعٌ فَمَسَحَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأْسِيْ , وَدَعَا لِيْ بِالْبَرَكَةِ

وَتَوَضَّأَ فَشَرَبْتُ مِنْ وَضُوْئِهِ , وَقُمْتُ خَلْفَ ظَهْرِهِ , فَنَظَرْتُ إِلىَ الْخَاتَم ِ

بَيْنَ كَتِفَيْه ِ, فَإِذاَ هُوَ مِثْلُ ِزرَّ الْحِجْلَةِ "

TERJEMAHAN

Telah berkata Saib Ibn Yazid : “ Telah pergi ibu saudaraku bersamaku kepada Nabi
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ maka dia berkata : Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya saudaraku sakit. Maka
Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ menyapu kepalaku dan mendoakan bagiku akan keberkatan. Dan Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ mengambil wudhuk. Maka aku telah minum sebahagian daripada sisa-sisa wudhuknya dan aku berdiri di belakang tubuhnya صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ maka aku telah melihat akan tanda kenabian di antara dua bahu belakangnya صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ . Maka tiba-tiba ianya seperti telur burung merpati.

Ahad, 7 Februari 2010

Berilmukah aku??

Saudaraku....Ilmu adalah cahaya, ilmu adalah hidayah, ilmu adalah pedoman, ilmu adalah penunjuk arah, ilmu adalah ubat bagi segala penyakit, ilmu adalah satu kelazatan, ilmu adalah nikmat dan ilmu adalah rezeki. Sesiapa yang merasa kelazatan ilmu, pasti mengetahuinya tanpa dapat mampu digambarkan dengan mulut dan sesiapa yang sudah mengetahuinya, pasti dia akan mengambilnya hingga tiada merasai kepuasan. Kenapa tidak? Sedangkan ilmu itu seperti lautan yang tiada bertepian.
Saudaraku....ilmu didapati dengan mengikut majlisnya. Majlisnya pula diiktirafi kecuali dengan wujudnya 4 perkara. Seandainya luput 1 daripada 4 perkara, maka lupuslah nama Majlis Ilmu. 4 perkara itu adalah guru, penuntut, buku dan tempat.
Saudaraku....Sesiapa yang tidak berguru, maka syaitanlah gurunya. Guru adalah seorang yang menjadi lilin yang sanggup membakar diri untuk menerangi sesuatu tempat. Tempat itu bersinar dengan cahaya dan orang yang berada di situ merasa selesa dengan kedatangannya. Namun, cahayanya ada tempoh dan masa. Cahayanya perlu diambil manfaat sehabis-habisnya. Cahayanya perlu di jaga agar tidak terpadam. Seandainya terpadam dengan sikap kekurang adab penuntutnya, maka ianya dapat dinyalakan semula dengan penyesalan. Tetapi, seandainya terpadam dengan sebab cairnya batang itu, maka penyesalan ketika itu tiada berguna.
Saudaraku....Perkara yang kedua adalah penuntut. Bagaimana ciri penuntut? Mereka ibarat helang yang menyambar. Mata mereka tajam dan pergerakkan mereka sangat tangkas. Mereka terlalu pantas di dalam berjalan, makan dan menulis. Mereka seperti Keldai yang sanggup berkhidmat untuk tuannya. Tuan mereka adalah guru. Mereka berjalan menundukkan kepada mengikut arahan. Mereka sanggup bersabar seperti lebah di dalam membina sarangnya yang sangat bermanfaat.
Saudaraku....Buku menjadi perkara yang ketiga. Buku untuk dibaca dan diingati. Buku untuk dihayati dan disanjungi. Membaca adalah kunci ilmu. Membaca adalah sunnah Nabi S.A.W walaupun baginda tidak membaca dengan melihat buku. Buku bukan untuk dijemu. Ulamak menjadikannya sebagai tabiat menimba ilmu. Selepas dibaca buku itu diserapkan di dalam kalbu untuk menjadi penentu. Penentu kebaikan dan keburukan yang akan dilaku. Ulama membacanya tanpa rasa jemu hinggakan sebuah kitab diulang beribu-ribu. Sebahagiannya mengulang-ulang bacaan sebelum bertemu dengan guru agar ilmu itu menjadi bertambah padu. Buku juga suatu syiar agama. Barang sesiapa yang mengagungkan syiarnya, maka itulah bukti ketaqwaan hatinya. Wahyu pertama membuktikan betapa pentingnya membaca. Malas membaca bukti kelemahan di dalam jiwa. Membaca pengubat luka, pemulih suasana, penyeri segalanya kerana ianya sumber cahaya. Buku yang terbaik adalah Al-Quran ,Hadis dan buku-buku agama.
Saudaraku....Yang keempat ialah tempat. Semua makhluk bertempat. Maka carilah sebanyak mungkin tempat untuk dijadikan ibadat. Sesungguhnya setiap tempat menjadi saksi di akhirat. Tempat memberi manfaat dan mudharat di akhirat. Hanya Allah tiada bertempat. Allah yang menciptakan tempat, bagaimana Allah pula berhajat kepada tempat. Tempat membaca dan menuntut ilmu menjadi taman daripada taman-taman syurga. Oleh itu, kita perlu beringat dan bersedia kerana hidup kita tidaklah lama. Harumkan tempat dengan ibadat selama-lama. Jangan cuba keluar darinya kerana ajakan syaitan durjana. Biar letih dan penat semua itu akan dikira dan diberi ganjaran pahala. Putuskan hubungan dengan mereka (syaitan) selama-lama dengan bersama insan-insan yang mulia. Itulah manfaat yang membawa kita bahagia.

anda pelawat yang ke-

Pengikut